suria

SPRM ambil keterangan Najib Selasa ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak kenyataan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal yang menyatakan bahawa pegawai suruhanjaya itu akan hadir ke rumah bekas Perdana Menteri itu untuk merakam percakapannya..

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya telah menyerahkan notis kepada Najib untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM bagi tujuan tersebut.

"Datuk Seri Najib dikehendaki hadir bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International.

"Saya menolak kenyataan peguam Najib bahawa pegawai SPRM yang akan hadir ke rumah beliau untuk merakam percakapannya," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Tambah Azam, dalam notis yang diserahkan kepada Najib pada Jumaat sudah jelas dinyatakan bahawa beliau perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM.

Terdahulu, Harpal mendakwa keterangan daripada bekas pengerusi Barisan Nasional itu akan diambil pukul 8 pagi di kediamannya di Langgak Duta, di sini.

Sementara itu,  Harpal berkata pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung siasatan berkenaan  sama ada turut melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor atau sebaliknya.  

Pada Jumaat, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib bagi menghantar notis berkenaan. 

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada  26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. - Bernama

1MDB, Najib Razak, Rosmah Mansor

Artikel Lain