PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menamatkan khidmat pegawai kontrak melalui lantikan politik.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan berikutan terlalu banyak pembaziran semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita dapati terlalu banyak pegawai kontrak... ada yang diberi kontrak kerana keperluan pentadbiran tetapi ada juga diberi kontrak melalui lantikan politik.
"Dan lantikan politik ini semuanya akan kita tamatkan," kata Dr Mahathir pada sidang media sebentar tadi.
Bagaimanapun beliau berkata, kakitangan sokongan kepada pegawai kontrak lantikan politik tidak akan ditamatkan perkhidmatannya.
Sebaliknya jelas Dr Mahathir, golongan tersebut akan dipertimbangkan ke jawatan lain sesuai dengan kelayakan mereka.
"Kes seperti pemandu dan sebagainya mereka bukan pegawai lantikan politik tapi mereka bergaji rendah. Ini akan menyusahkan mereka apabila ditamatkan kerja sebab tak ada bayaran gaji.
"Itu akan beri masalah kepada mereka. Maka kita akan beri jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka. Ini yang sedang dilakukan dan memang mengambil masa serta memerlukan penyelesaian keputusan kebanyakan oleh saya sendiri," katanya.
Antara pegawai lantikan politik adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.
Beliau merupakan penasihat komunikasi kepada Najib.


