suria

Forensik dedah punca kematian Zulfarhan

KUALA LUMPUR: Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa punca kematian Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang dipercayai didera rakan seuniversitinya tahun lepas, adalah disebabkan kombinasi antara ‘hypervolemia', masalah jantung dan buah pinggang yang dialaminya.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad, 37, berkata hasil bedah siasat yang dijalankannya terhadap mayat Zulfarhan Osman mendapati mangsa mengalami pembengkakan jantung dan kegagalan sel ginjal.

“Kombinasi itu boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri M. Ramachelvam, yang mewakili Muhammad Afif Najmudin Azahat, pada perbicaraan hari keenam kes itu.

Menjawab soalan Ramachelvam di bahagian manakalah lecuran di badan mangsa yang menyebabkan kematian, Dr Salmah, yang merupakan saksi pendakwaan keenam, berkata beliau tidak boleh menentukan perkara itu kerana ia bersifat kombinasi.

“Semua (bahagian badan), ia kombinasi. Saya tak boleh cakap yang mana satu (kesan lecur di badan yang menyebabkan kematian),” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, Dr Salmah memberitahu hasil bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur darjah 1 hingga darjah 3 di hampir keseluruhan badan, termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas tubuh badan Zulfarhan Osman juga mendapati mangsa tidak mempunyai apa-apa risiko penyakit sama ada diabetes atau asma.

Kepada cadangan Ramachelvam bahawa Zulfarhan Osman yang muda, tidak mempunyai risiko kesihatan dan berusia kurang 50 tahun jika dibawa dan dimasukkan ke hospital dengan segera, survival mangsa untuk hidup adalah tinggi, saksi itu bersetuju dan berkata kadar peratusan mangsa untuk hidup akan meningkat.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin, Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Rabu ini. -  BERNAMA

Zulfarhan Osman, kadet UPNM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain