suria

PH pertimbang sedia pengangkutan percuma untuk warga Miri

MIRI: Pakatan Harapan (PH) merancang menyediakan pengangkutan awam percuma untuk warga Bandaraya Miri sebagai sebahagian strategi untuk meringankan beban kumpulan berpendapatan rendah berikutan kejayaan pelaksanaan sistem yang sama di Selangor dan Pulau Pinang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon (DAP) (gambar) berkata beliau bersama-sama Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng (PKR) akan bekerjasama untuk memastikan cadangan itu dilaksanakan di bandar raya ini memandangkan ia juga dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan terpilih di sini.

“Dianggarkan ia membabitkan kos RM20 juta termasuk kos membeli 70 bas untuk mengangkut penumpang di Bandaraya Miri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Ting berkata pengangkutan awam percuma itu ditawarkan untuk semua golongan termasuk kemudahan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata pengangkutan percuma itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan di Bandaraya Miri, malah turut meliputi pinggiran bandar serta kawasan luar bandar seperti Baram dan Batu Niah.

Ditanya jangka masa untuk sistem itu dilaksanakan, beliau berkata butiran lanjut akan diumumkan sebaik sahaja cadangan itu diteliti dan dimuktamadkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Selain kemudahan pengangkutan awam percuma, Dr Ting berkata PH juga akan mendesak menyegerakan projek pembesaran bangunan Hospital Miri dan klinik kesihatan untuk menampung permintaan perkhidmatan kesihatan berikutan peningkatan penduduk di Bandaraya Miri.  

Sementara itu, Setiausaha PH Sarawak Alan Ling Sie Kiong telah merayu majlis tempatan di Sarawak untuk mengetepikan semua saman tempat letak kereta yang dikeluarkan majlis berkenaan pada 10 dan 11 Mei lepas.

“Kami menggesa majlis-majlis tempatan di Bandaraya Kuching,  Sibu dan Miri, untuk mengetepikan saman itu terhadap penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang telah membayar saman itu, majlis tempatan boleh membayar balik bayaran itu,” katanya.  

Beliau berkata ramai antara mereka yang keliru dengan pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan persekutuan yang berpendapat kerajaan Sarawak akan mengikuti langkah itu tetapi sebaliknya kerajaan negeri mengumumkan ia akan mengisytiharkan cuti umum pada 17 dan 18 Mei. - Bernama

Ting Tiong Choon, PH

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain