suria

Najib letak jawatan serta-merta

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno.

Pengumuman itu dibuat oleh dalam satu sidang media, petang Sabtu.

"Memandangkan Umno dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat, maka saya sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk meletakkkan jawatan serta-merta.

"Ini kerana mengikut prinsipnya sesiapa yang menjadi ketua sesebuah parti, apabila parti itu gagal dalam pilihan raya tanggungjawab moral perlu diterima sepenuhnya oleh orang yang berkenaan," katanya pada sidang media kira-kira jam 3 petang.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau menerima prinsip tersebut dengan hati terbuka dan melakukannya atas prinsip tanggungjawab moral.

Jelasnya, selepas mengadakan perbincangan sebelum sidang media ini diadakan, Biro Politik parti telah bersetuju tugas-tugas presiden dilakukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, manakala Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein melakukan tugas-tugas timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN.

"Ketiga-tiga sayap kita memberi sokongan sepenuhnya kepada cadangan ini dan mereka akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya," kata Najib.

Dalam pada itu Najib turut menegaskan bahawa beliau tetap akan setia bersama Umno walaupun sudah meletakkan jawatan.

Pada PRU14, BN hilang mandat apabila tewas kepada Pakatan Harapan.

PH memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Artikel Berikut

Perak akhirnya milik PH

Artikel Lain