suria

Pelantikan MB Pahang ditangguh sementara

PEKAN: Istiadat mengangkat  sumpah menteri besar  Pahang yang dijadualkan  berlangsung pada Sabtu ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada Istana Pahang mengenali muka baharu yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lepas.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) bertitah penangguhan itu juga dilakukan kerana baginda merasakan ‘ia perlu dilakukan' dan tiada sebab lain.

“Saya perlukan masa dan tiada masalah untuk menubuhkan kerajaan... Saya hanya perlukan sedikit masa untuk mengenali semua anggota kerajaan,” titahnya kepada pemberita di Istana Abu Bakar di sini  pada Sabtu.

Tengku Abdullah ditemui selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah kepada 189 penerima.

Semalam, sumber memaklumkan pelantikan menteri besar  Pahang dijadualkan berlangsung pada Sabtu sebelum istiadat pengurniaan, namun pihak media kemudiannya difahamkan majlis itu ditangguhkan sementara dan akan dilangsungkan sebelum 1 Ramadan nanti.

Tengku Abdullah juga tidak menolak kemungkinan istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan dilakukan serentak dengan pelantikan Anggota Majlis Mesyuarat  Kerajaan Negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai perjumpaannya dengan bakal Adun  baharu yang dilakukan secara berasingan mengikut parti di Istana Abdul Aziz di Kuantan semalam,  Tengku Abdullah bertitah ia perkara biasa.

“Tiada apa... saya jemput datang dan saya sentiasa suka berjumpa, bertanya khabar (mereka) dari kawasan mana,” titah baginda.

Sebelum ini, Tengku Abdullah difahamkan telah berkenan menerima menghadap bakal Adun Pahang di istana baginda yang dimulakan dengan wakil daripada PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN). - Bernama

Artikel Lain