suria

Muhyiddin, Guan Eng, Mat Sabu diumum menteri kanan

-fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sebagai menteri kanan dalam barisan Kabinet kerajaan PH bagi membentuk struktur awal pentadbiran negara.

Tiga pemimpin terlibat adalah Lim Guan Eng menyandang jawatan Menteri Kewangan, diikuti Menteri Dalam Negeri yang diisi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Umum sedia maklum, Guan Eng adalah Setiausaha DAP, Muhyiddin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala Mohamad Sabu adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor di sini.

Khamis lalu, sehari selepas PH memperoleh mandat apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke tujuh.

Selain Dr Mahathir yang melakar rekod dunia sebagai pemimpin tertua mentadbir negara, keputusan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi melaksanakan tugas timbalan perdana menteri mencatat sejarah negara sebagai wanita pertama menyandang jawatan berkenaan.

Setakat Sabtu, barisan menteri Kabinet yang disahkan adalah seperti berikut:

Perdana Menteri: Tun Dr Mahathir Mohamd

Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Menteri Kewangan: Lim Guan Eng

Menteri Dalam Negeri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri Pertahanan: Mohamad Sabu

Pada Jumaat, selain tiga kementerian diatas, Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan tujuh lagi kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negara.

Mengulas lanjut berhubung pembentukan Kabinet, kata Dr Mahathir, menteri bagi tujuh lagi kementerian utama akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Setiap parti akan mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan oleh perdana menteri, bagaimanapun perbincangan akan dilakukan dengan presiden parti dalam Pakatan Harapan sebelum membuat keputusan," katanya sambil menambah akan turut menimbangkan keanggotaan Kabinet dalam kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak.

Mengenai tarikh mengangkat sumpah bagi pemimpin yang dinamakan sebagai menteri itu, kata Dr Mahatir, pihaknya akan cuba menyegerakan proses itu.

Majlis Penasihat 

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat kerajaan melibatkan keanggotaan lima tokoh negara yang pernah menyandang jawatan penting dan memiliki kepakaran dalam bidang tertentu.

Lima individu berkenaan adalah seperti berikut:

Tun Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan)

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara)

Tan Sri Mohd Hassan Marican (bekas presiden Petronas)

Robert Kuok (ahli perniagaan)

Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi)












Mahathir, Kabinet, PH

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain