suria

‘Sudah nampak bayang Putrajaya’

Najib berucap pada Majlis Perhimpunan Hebatkan Negaraku di Pusat Konvensyen Sungai Siput, Sabtu. -fotoBERNAMA

SUNGAI SIPUT: Sambutan hangat diberikan rakyat terhadap kandungan manifesto BN memberi keyakinan parti itu mampu mengekalkan Putrajaya sebaik hari pengundian tamat, 9 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam jelajah kempen pilihan raya dikunjungi, pihaknya menerima sokongan padu rakyat yang menyambut baik 364 inisiatif digariskan dalam manifesto BN.

"Saya dah pergi merata tempat dari Perlis sampailah ke Sabah dan saya tengok, 9 Mei ini Putrajaya kekal dalam tangan BN.

"BN mendapat sambutan hangat kerana kita menjanjikan banyak projek, berlainan pembangkang yang tidak ada agenda, tiada perancangan mahupun hala tuju, manifesto mereka hanyalah janji palsu," katanya ketika berucap pada majlis Hebatkan Negaraku di Pusat Konvensyen Sungai Siput, Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Najib turut menyelar tindakan pembangkang yang tidak sudah-sudah memomokkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan sejak 2015 lalu.

Katanya, sekiranya kerajaan terus mengekalkan pemberian subsidi, manfaat itu tidak sampai ke kumpulan sasaran sebenar sebaliknya dikongsi bersama pelancong serta pekerja asing yang datang ke negara ini.

"Kita ambil langkah untuk menguruskan ekonomi yang lebih cekap, bila hasil bertambah kita pulangkan kembali kepada rakyat, tambah lagi peruntukan untuk pekebun, nelayan juga membantu orang susah.

"Kerajaan juga menyediakan skim latihan kemahiran, tambahan bangunan sekolah dan sediakan biasiswa, ini semua isyarat terus kepada rakyat yang memerlukan...itulah dasar sebenar BN," katanya. - Sinar Online

Najib Tun Razak, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain