suria

‘Saya sangat rindukannya’

Ismail Sabri bersama cucunya, Jeanelle. foto IG Nina Ismail Sabri.

BERA: "I miss her so much (saya sangat rindukannya)..." ungkapan pertama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila ditanya mengenai cucu tunggalnya, Jeanelle Nika Mandagie.

Jeanelle Nika Mandagie yang lahir pada 1 November lalu merupakan cahaya mata sulung anak perempuan Ismail Sabri, Datin Nina Sabrina dengan pasangannya Datuk Jovian Mandagie yang merupakan pereka fesyen terkenal.

Ismail Sabri berkata beliau sudah tiga minggu tidak berjumpa dengan cucunya yang mendapat gelaran Princess Mandagie kerana kesibukan berkempen selaku calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera.

"Selalunya setiap minggu kami akan berjumpa...tapi ini sudah lama tidak berjumpa. Nasib baik zaman sudah canggih, jadi keluarga akan menghantar video Jeanelle kepada saya.

"Setiap pagi sebelum berkempen, saya akan menonton video cucu sebagai pembakar semangat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sukan Rakyat di Kampung Paya Badak di sini, Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu ialah dua anak lelakinya, Iqbal dan Nashriq yang turut membawa isterinya Shaheerah Faeiz.

Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk tempatan. - fotoBERNAMA

Ismail Sabri menambah merindui anggota keluarga adalah lumrah kepada semua anggota politik, kerana banyak masa perlu diluangkan untuk bersama-sama rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka.

Tambahnya, menyedari amanah yang perlu dilunaskannya selaku anggota politik juga menyebabkan beliau tidak pernah 'merungut' meskipun boleh dikatakan 80 peratus daripada masanya dihabiskan di luar.

"Alhamdulillah keluarga faham dengan tuntutan tugas. Jika Sabtu Ahad orang lain boleh bersama keluarga, saya pulang ke Bera untuk berjumpa penduduk dan bertanya masalah mereka.

"Apabila ada masa terluang disebabkan ada program dibatalkan, saya segera 'update' kumpulan WhatsApp supaya kami boleh curi-curi masa untuk berkumpul. Saya percaya pada masa berkualiti," katanya.

Sementara itu, Nashriq berkata semua adik-beradiknya sudah lali dengan kesibukan bapa mereka sejak 15 tahun lalu, khususnya menjelang pilihan raya umum.

Beliau menambah beliau dan tiga adik-beradiknya akan bergilir-gilir mengikuti kempen Ismail Sabri yang dipanggil 'papa' kerana mengetahui itu adalah peluang untuk mereka berjumpa.

"Tapi tidak semestinya kami berjumpa sepanjang masa. Semalam, papa sibuk dengan kempen dan beliau hanya dapat menghubungi saya pada 12.30 tengah malam untuk memberitahu papa kini free.

"Papa ajak saya berjumpa kerana dia nak berborak. Raut wajahnya memang nampak keletihan, tapi beliau tetap mahu meluangkan masa dengan saya," katanya. - BERNAMA

Ismail Sabri, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain