suria

Dulu Awang jadi peneman, kini bawa aura Fadzil Noor

Faiz (tengah) menerapkan amalan arwah bapanya ketika turun padang mendekati masyarakat.

PETALING JAYA: Kira-kira 36 tahun lalu, Muhammad Faiz sering menjadi peneman bapanya, Datuk Fadzil Mohd Noor ketika turun padang menemui anggota masyarakat, berkempen mahupun menyampaikan ceramah politik.

Saat penuh berharga itu tersemat erat dalam memori peguam yang kini berusia 41 tahun ini, terutama apabila tampil mencuba nasib merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Kini situasinya hampir sama ketika zaman kanak-kanaknya apabila didedahkan dengan dunia politik, cuma anak kelima daripada lapan beradik ini ditemani dan dikelilingi penyokongnya ketika kali pertama dicalonkan atas tiket Pakatan Harapan.

Mengimbas suasana yang dilalui bersama pemimpin kanan PAS sejak usianya hanya lima tahun, Faiz bagaikan terngiang-ngiang sapaan "Awang" iaitu panggilan manja bapanya kepada dirinya.

"Saya rapat dengan baba. Dia panggil saya Awang. Di Kedah, Awang bermaksud anak yang disayangi atau rapat. Saya memang suka ikut dia hadir apa jua aktiviti parti mahupun ceramah politik, ketika itu umur saya lima tahun.

"Dari situ saya dapat tengok kehebatannya dalam berceramah dan cara menyantuni rakyat dengan penuh kesederhanaan. Dia memang idola saya sejak kecil," kata timbalan ketua pemuda Amanah kepada mStar Online.

Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Malahan, Faiz menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana 'aura' bapanya yang juga pemimpin presiden PAS selama 13 tahun sentiasa membayangi dan membantu karier politiknya.

Tinggal kenangan... Muhammad Faiz bersama arwah bapanya (tiga dari kanan).

"Tidak dinafikan pengaruh kuat baba di Permatang Pasir sedikit sebanyak memberi kelebihan. Saya sedar sukar untuk menjadi sehebat beliau terutama pada hujah dan caranya dalam menyantuni masyarakat.

"Namun saya akan berusaha membina imej dan bakat tersendiri sejajar dengan prinsip yang diterapkan baba yang sentiasa mahukan anaknya berdiri di atas kaki sendiri," kata bapa kepada sepasang cahaya mata, Farah Aliya, 17 dan Fadzil Fikri, 8.

Ketika ditanya mengenai perkara yang dirinduinya, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, sikap pembimbing yang ada pada arwah bapanya sentiasa tersemat dalam ingatannya.

"Dia memang suka manjakan anak-anak, ambil berat, berfikiran terbuka dan sentiasa tenang. Dia juga seorang yang bersih dan kemas.

"Dia tak pernah pukul anak-anak tapi tegas dalam keputusan politik. Saya yakin jika dia masih hidup dia akan menyokong apa jua yang saya lakukan pada hari ini," kata suami kepada Noralis Mat, 40.

Mengenai peluang di Permatang Pasir, Faiz yang mendapat sokongan ibunya, Siti Khadijah Ibrahim berkata, beliau yakin rakyat di kawasan itu akan membuat pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

"Hasrat sebenar untuk meneruskan perjuangan baba, walapun kami mungkin berbeza ideologi politik tetapi perjuangan kekal sama dan akan saya teruskan," katanya yang tidak berdepan masalah untuk mendekati penduduk di Permatang Pasir.

Bagi Faiz, dirinya yang berasal dari Kedah bukan sesuatu yang asing untuk bertanding di Permatang Pasir kerana sudah dua tahun menbiasakan diri dan mendekati penduduk kawasan itu.

"Penduduk Permatang Pasir sudah dekat dengan diri saya. Kami boleh bergaul melangkaui fahaman politik. Saya juga boleh minum dan duduk semeja dengan orang parti lawan," katanya.

Allahyarham Fadzil terkenal dengan kehebatannya dalam berhujah.

Pada masa sama, Faiz berkata, beliau sentiasa berpegang kepada amalan bapanya dalam menyantuni rakyat iaitu KBSM yang bermaksud kenduri, bersalin, sakit dan mati.

"Sebagai wakil rakyat arwah baba selalu berpesan supaya cakna kepada empat perkara iaitu kenduri, bersalin, sakit dan mati. Keempat-empat perkara ini perlu saya santuni.

"Jika ada kenduri anak baru lahir, jika ada orang sakit dan kematian saya perlu menyantuni masyarakat. Inilah yang diterapkan arwah baba sepanjang beliau bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

Tambah beliau, amalan KBSM tersebut sentiasa menjadi pegangannya bukan semata-mata untuk meraih undi tetapi dilakukan demi tuntutan dalam Islam.

"Amalan ini akan dikekalkan, InsyaAllah bukan sahaja andai diberi peluang sebagai wakil rakyat tetapi atas dasar sesama manusia. Ia asas kepada kehidupan bermasyarakat.

"Saya juga akan sentiasa ingat pesan arwah baba supaya tidak sombong dan sentiasa meletakkan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan peribadi," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bagaikan sinonim dengan graduan jurusan perundangan, Faiz gemar membaca kerana amalan itu dianggap satu keperluan penting.

"Apabila ada masa terluang saya akan membaca tidak kira buku undang-undang, politik dan juga agama," katanya.

Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Faiz Fadzil, PRU14

Artikel Lain