suria

Jualan jimat belanja dapur bakal jelajah seluruh negara

BATU PAHAT: Program Jimat Belanja Dapur anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bakal diteruskan dan diperluaskan ke setiap negeri, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata Program Jimat Belanja Dapur itu merupakan satu daripada inisiatif kerajaan dalam membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah iaitu B40.

"Usaha secara berterusan ini bukan bersifat pemberian sekali tetapi ia akan dilakukan di seluruh negara melibatkan semua produk makanan proses dan mentah yang dibawa terus dari ladang untuk manfaat pengguna agar mereka dapat menikmati harga berpatutan.

"Pelbagai barangan keperluan harian dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus  ditawarkan bagi pengguna," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Program Jimat Belanja Dapur, di sini, Sabtu.

Program yang diadakan di Pekan Sri Medan di sini mendapat sambungan hangat apabila menerima kunjungan lebih 2,000 pengunjung.

Pada majlis itu, Ismail sempat meninjau tapak jualan berkenaan ditemani anggota Parlimen  Parit Sulong Datuk Noraini  Ahmad dan anggota Dewan Undangan Negeri Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan.

Seorang pengunjung Nordiana Idayu Salleh berkata barangan yang dijual pada program itu jauh lebih murah dan berbaloi untuk dibeli.

"Semua barang dapur yang dijual hari ini berpatutan berbanding di luar. Contoh harga sebiji kobis di luar adalah RM3 sebiji tapi di sini saya beli dengan harga RM2 sebiji," kata wanita berusia 26 tahun itu.

Senada  dengan Nordiana ialah seorang suri rumah, Sarimah Ismail, 49, yang menyifatkan tawaran barangan keperluan yang dijual murah dan segar.

"Saya berpuas hati dengan tawaran harga yang agak murah dan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami," kata ibu kepada enam anak itu.

Bagi warga emas berusia 70 tahun, Sarah Rashid berkata program seperti ini sangat diperlukan bagi golongan yang tidak bekerja dan berusia sepertinya.

"Saya datang dengan jiran-jiran dari pukul 7 pagi tadi dan memang barang segar, elok dan harga di sini murah kalau nak dibandingkan di luar sana.. Eloklah dilakukan sekerap yang mungkin," katanya.-- Bernama    


Fama, Ismail Bakar

Artikel Lain