suria

Penyebar berita palsu kaitkan TMJ berdepan tindakan tiga akta

KOTA TINGGI: Pesalah yang bertindak membuat berita palsu kononnya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan hadir memberi bantuan di beberapa lokasi di negeri ini termasuklah di pasaraya Econsave Pontian baru-baru ini boleh didakwa di bawah tiga akta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau dimaklumkan kes berkenaan merupakan kes pertama disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas akta itu dikuatkuasakan.

Menurutnya, pihak polis akan melakukan siasatan lanjut dan sekiranya polis mahu menjadikan kes maka ia perlu dibawa ke mahkamah sesyen.

“Akta ini juga boleh melibatkan individu sekiranya individu itu nak keluar dan cari punca siapa yang buat berita palsu tersebut. Tapi kita juga ambil kira tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta akta di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kalau polis siasat, mungkin tiga undang-undang tersebut boleh digunakan untuk pesalah tersebut, namun ia tertakluk kepada keputusan pihak pendakwa raya. Apa yang penting punca dari mana berita palsu itu sampai perlu disiasat dan siapa yang gubal, terbitkan, memajukan isu tersebut boleh dikenakan tindakan. Dalam masa sama polis turut mengambil kira niat dan motif sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Peneroka Felda Sifar Hutang Peringkat Parlimen Pengerang, di Dewan Serbaguna Felda Air Tawar 5, Sabtu.

Azalina berkata, kes berita palsu itu membuktikan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 jelas boleh dipakai semua pihak daripada atas sampailah ke bawah.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan lebih 1,000 orang datang ke pasaraya Econsave Pontian dengan harapan TMJ akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan mereka sebagaimana yang diperoleh pengunjung pasaraya Aeon Tebrau City.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh mengesahkan berita yang tular itu adalah berita palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di pasar raya tersebut.-SinarHarian






TMJ, Azalina

Artikel Lain