suria

Dadah RM8.7 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah menerusi empat serbuan di sekitar ibu negara membabitkan rampasan dadah bernilai RM8.7 juta pada Rabu lepas.

Kesemua suspek warga tempatan berumur antara 19 dan 34 tahun itu ditahan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur yang melancarkan serbuan antara pukul 5.15 petang hingga 5.50 petang.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata pemeriksaan di empat rumah sewa membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah disyaki 67 kilogram (kg) pil ekstasi, 36.3kg syabu, 6.5kg kokain dan enam gram ketamin.

"Kami turut merampas enam kereta, wang tunai RM4,972 dan pelbagai jenis barang kemas," katanya pada sidang media di sini Sabtu.

Beliau berkata modus operandi sindiket ini adalah menyimpan stok dadah berkenaan yang boleh digunakan lebih 400,000 pengguna itu di rumah sewa sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Kamarulzaman berkata semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga negatif.

Katanya semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lepas bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Kamarulzaman berkata seramai 47,389 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah sejak Januari sehingga Rabu lepas.

"Sementara nilai keseluruhan rampasan dadah bagi tempoh yang sama ialah sebanyak RM65.47 juta," katanya. - BERNAMA

dadah

Artikel Berikut

Artikel Lain