suria

Video treler terbabas tular

DENGKIL: Sebuah video memaparkan insiden membabitkan sebuah treler terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dekat sini menjadi tular di media sosial.

Video berdurasi 24 saat itu menunjukkan kenderaan tersebut dipandu dengan laju di lorong kanan lebuhraya terbabit sebelum merempuh pembahagi jalan.

Individu yang memegang kamera itu kelihatan panik dan hilang fokus seketika semasa dia cuba merakam merakam insiden tersebut.

Namun dia kembali merakam detik ngeri itu yang memperlihatkan keadaan treler yang sudah rosak selepas terbabas ke laluan bertentangan.

Insiden itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian pada pukul 2.45 petang, treler itu dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menuju ke utara.

“Sebaik tiba di Kilometer (KM) 28.9 lebuh raya itu, tayar depan sebelah kanannya meletup dan pemandunya cuba mengawal kenderaan terbabit, namun tidak berjaya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kemalangan turut membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda, namun mangsa termasuk pemandu treler tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurut beliau, cuaca ketika kejadian baik dan struktur jalan di kawasan terbabit lurus.

kemalangan, treler

Artikel Sebelum

Artikel Lain