suria

Penerima BR1M bakal dapat durian runtuh


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi isi rumah pendapatan RM3,000 dan ke bawah bagi pemberian pada Jun dan Ogos depan akan digandakan dari RM400 ke RM800.

Durian runtuh itu diumumkan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada Sabtu malam dalam majlis pelancaran Manifesto BN bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Negaraku' untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. 

Najib menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto BN bagi PRU14. Foto Mani Azman/The Star

Menerusi pengumuman khas di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, Najib berkata, bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, BR1M pada Jun dan Ogos berjumlah RM300 digandakan kepada RM600, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM900 kepada RM1,500.

Bagi individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang telah terima BR1M sebanyak RM450, akan menerima tambahan RM150 pada Jun, bermakna jumlah keseluruhan adalah RM600.


Sumber Facebook Friends of BN - Barisan Nasional

Selain itu, terdapat kategori baharu BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, akan menerima BR1M sebanyak RM700 dengan pembayaran dua kali pada Jun dan Ogos ini.

Najib turut mengumumkan bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 akan disalurkan kepada anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi.

BR1M mula dilaksanakan pada 2012, dan kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan mula menerima BR1M secara berperingkat sejak 26 Februari lalu.

BR1M

Artikel Lain