suria

Jumlah rakyat Malaysia 'amat kaya' meningkat

-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Malaysia yang amat kaya naik sebanyak 11 peratus kepada 310 orang pada tahun lepas, berbanding 280 orang pada 2016, dari 31.19 juta penduduk, menurut Laporan Kekayaan 2018 Knight Frank.

Individu amat kaya ini adalah  mereka yang memiliki aset bersih sebanyak lebih kurang AS$50 juta (RM193.35 juta).

Edisi ke-12 laporan yang telah dikeluarkan hari ini oleh perunding hartanah global itu turut meramalkan bahawa penduduk yang amat kaya di Malaysia akan melonjak sebanyak 65 peratus kepada 510 orang dalam tempoh 2017 hingga 2022.

Ketua Penyelidikan Knight Frank Asia Pasifik, Nicholas Holt, berkata pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar US sebanyak 15 peratus pada tahun lepas menjadi penyumbang utama kepada peningkatan penduduk amat kaya di negara ini.

"Pertambahan ini dibantu oleh peningkatan dalam prestasi sektor e-dagang dan perkilangan, bersama-sama  dengan sektor baharu  seperti teknologi kewangan yang telah mencipta kekayaan baharu dalam negara ini, telah menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak 11 peratus," katanya.

Holt berkata demikian ketika memberi taklimat sempena dengan pelancaran Laporan Kekayaan 2018 di sini, Khamis.

Penerbitan tahunan itu menjejaki pertumbuhan penduduk amat kaya dunia bersama-sama dengan analisis yang mendalam ke atas 52 buah negara.

Katanya, individu amat kaya dunia telah bertambah sebanyak 10 peratus (11,630 individu) kepada 129,730 orang pada tahun lepas, dengan Asia mengatasi Eropah sebagai hab utama bagi orang yang sangat kaya.

Di negara ini pula, menurut laporan itu, golongan rakyat Malaysia yang amat kaya ini mengutamakan aset yang kurang berisiko, dengan 44 peratus daripada mereka membuat pelaburan dalam sektor hartanah pada tahun lepas, di atas purata global sebanyak 39 peratus pada 2017.

Sejumlah 33 peratus rakyat Malaysia yang kaya suka melabur dalam emas berbanding purata global sebanyak 25 peratus.

Bagaimanapun, 21 peratus daripada responden Malaysia berkata mereka merancang untuk menambah pelaburan mereka dalam mata wang kripto, ini seiring dengan purata global sebanyak 21 peratus.

Mengulas mengenai perkara ini, Holt berkata, selera pelaburan rakyat Malaysia telah bertambah seiring dengan trend global.

"Mereka akan memperuntukkan  sebahagian  daripada  pelaburan ke dalam aset yang 'lebih  selamat' seperti hartanah dan emas. Pada masa yang sama, mereka akan mengenepikan sedikit ke dalam mata wang kripto yang sedang meningkat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Sarkunan Subramaniam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata beliau menjangkakan selepas pilihan raya, pelabur akan menerima lebih banyak risiko memandangkan landskap politik akan membawa dasar dan kitaran ekonomi yang baharu.

"Pelabur  mungkin akan melihat secara serius ke dalam peluang hartanah merangkumi kediaman dan komersil sama ada di dalam negara atau antarabangsa," katanya. -Bernama

rakyat Malaysia, kaya, Knight Frank

Artikel Sebelum

Artikel Lain