suria

#StandTogether: "Mereka pijak... melampau!" - Lisa Surihani

Lisa Surihani.

PETALING JAYA: Di sebalik personaliti ceria dan senyuman manis Lisa Surihani, 32, tersimpan kisah duka yang sukar untuk dilupakan pelakon itu.

Walaupun hidupnya kini dipenuhi kasih sayang bersama keluarga tercinta terutama suami, Yusry Abdul Halim dan dua cahaya mata, Yahaira Leanne, 2, dan Yusof Leonne, 1, tetapi pengalamannya pernah dibuli di sekolah begitu meruntun hati.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa peritnya apa yang dialami Lisa, apabila pengalaman pahit itu mempunyai kaitan dengan bapanya, Allahyarham Mohamed Mahbob, yang meninggal dunia sedekad lalu akibat penyakit barah.

Berkongsi pengalamannya semasa zaman persekolahan, Lisa berkata, guru meminta setiap pelajar membuat satu tugasan bersama dengan salah seorang ahli keluarga yang mana dia telah memilih untuk melakukannya bersama bapanya.

"Satu hari, saya datang ke sekolah dan melihat projek yang dihasilkan bersama arwah ayah, dipijak dan dibuang dalam tong sampah. Ia melampau!

"Saya masih ingat lagi ayah begitu bersemangat untuk menghasilkan projek itu bersama-sama. Ia sesuatu yang sangat peribadi buat saya," katanya dengan nada sebak.

Lisa menganggap tindakan itu keterlaluan, ibarat melukakan hati bapanya, sehingga satu tahap personalitinya berubah menjadi seorang yang sangat lemah dan tidak yakin pada diri sendiri.

Lisa Surihani memberi sokongan penuh terhadap kempen anti buli.

Namun lama-kelamaan pengalaman dibuli itu membina kekuatan dalam diri Lisa untuk bersikap lebih positif dan matang.

Lisa Surihani merupakan salah seorang selebriti tempatan yang berkongsi pengalaman dibuli menerusi Karnival #StandTogether diperkenalkan oleh R.AGE di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam pada 15 April ini.

Acara yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran supaya orang ramai membuat kebaikan ini dibuka kepada orang awam secara percuma.

Selain Lisa, antara selebriti yang bakal berkongsi pengalaman mereka dibuli adalah pelawak, Harith Iskander, pelakon Daiyan Trisha, Arwind Kumar dan Jenn Chia.

Bagi menghangatkan suasana, ia turut menampilkan persembahan artis seperti Ismail Izzani, Talitha Tan dan Rabbit Mac.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu turut menghimpunkan pelbagai acara menarik seperti karnival permainan, trak makanan, bazar, pameran dan permainan Petrosains serta taklimat pendidikan untuk guru-guru dan ibu bapa.

Lebih menarik, pengunjung akan disajikan dengan demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Muay Thai dan campuran seni mempertahankan diri (MMA).

Artikel Sebelum

Artikel Lain