suria

Dewan Rakyat Tangguh 30 Minit, Kit Siang Enggan Keluar Dewan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pagi ini ditangguhkan sementara selama 30 minit apabila Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mengingkari arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk keluar selepas digantung daripada dewan.

Ia berikutan Lim mencabar keputusan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul Kajian Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini (Rabu) untuk diteruskan.

Speaker berkata keputusan penangguhan sementara persidangan dewan itu adalah bagi memberi peluang kepada Lim untuk keluar sendiri sebelum persidangan disambung semula.

“Ini untuk membolehkan Gelang Patah keluar daripada Dewan. Jika setelah persidangan disambung, Gelang Patah masih di sini, saya akan mengarahkan polis untuk membawa beliau keluar,” katanya.

Terdahulu Pandikar Amin telah mengarahkan Lim untuk keluar sendiri daripada Dewan tetapi anggota Parlimen itu enggan.

Pandikar Amin kemudiannya mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (3) untuk menggantung Lim.  

“Majlis mesyuarat hari ini memutuskan untuk mencadangkan supaya Gelang Patah digantung daripada perkhidmatan majlis mesyuarat selama enam bulan,” kata Azalina.  

Usul itu disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

Kekecohan tercetus selepas tamat sesi soal jawab pagi Rabu apabila Charles Santiago (DAP-Klang) mempersoalkan keputusan Pandikar untuk meneruskan pembentangan Usul Kajian Semula Persempadanan walaupun terdapat tiga injunksi oleh pembangkang di mahkamah.

Pandikar kemudian memetik Peraturan Mesyuarat 36 (2) bahawa keputusan itu tidak bersifat subjudis sebaliknya selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan mengambil contoh kes di Melaka iaitu mahkamah tidak masuk campur kerana ia berdasarkan prinsip pengasingan kuasa. - Bernama

Lim Kit Siang, Dewan Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain