suria

Himpunan Di Parlimen: Tindakan Tegas Jika Ingkar

KUALA LUMPUR: Polis akan bertindak tegas terhadap individu dan pihak yang menyertai perhimpunan yang dirancang di luar bangunan Parlimen pada Rabu, oleh kerana tiada permohonan permit dibuat oleh penganjur perhimpunan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi  Harun berkata, polis akan bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012  terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang ingkar  arahan polis dan melanggar undang-undang.

"Kita akan memantau keadaan di lokasi dan akan bertindak mengikut APA 2012, kalau ada yang ingkar arahan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, Selasa.

Difahamkan Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan di luar bangunan Parlimen pada Rabu bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dalam pada itu Fuzi sekali lagi mengulangi bahawa PDRM  telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat, termasuk meningkatkan  jumlah anggota yang terlibat sekiranya berlaku pertambahan kawasan pilihan raya pada kali ini. 

Beliau berkata ketika ini, kira-kira 79,000 anggota ataupun 69 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota PDRM pelbagai jabatan dan unit akan terlibat.

“Kita sudah 13 kali mengadakan pilihan raya umum dan ini adalah kali ke-14 , diharap masyarakat ambil tindakan positif dan menggunakan hak mereka sebagai pengundi sebaik mungkin,” katanya.  

Menurutnya, kawalan keselamatan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa khasnya ketika menjelang kempen pilihan raya serta hari mengundi dan orang ramai tidak perlu bimbang atau rasa takut sepanjang tempoh itu.  

Sebelum itu, Mohamad Fuzi memberi ucapan tahniah kepada seramai 10,133 pegawai, anggota dan pegawai awam PDRM yang menerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sepanjang tahun 2017. - Bernama

Parlimen, Bersih 2.0

Artikel Sebelum

Artikel Lain