suria

Bank Rakyat Umum Dividen 16 Peratus Bagi 2017

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat pada Selasa mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 16 peratus berjumlah RM480 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017 berbanding 15 peratus pada 2016.

Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, bank itu mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.05 bilion iaitu peningkatan 17.8 peratus berbanding RM1.74 bilion pada 2016.

“Prestasi cemerlang ini adalah hasil daripada pendapatan utama sebanyak RM6.34 bilion yang meningkat 5.7 peratus berbanding RM6.00 bilion sebelum ini, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti pembiayaan serta pelaburan selain kos operasi dan peruntukan pembiayaan yang terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman dividen oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin di sini, Selasa.

Mengulas selanjutnya, Shukry berkata, Bank Rakyat mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 17.2 peratus kepada RM1.36 bilion berbanding RM1.16 bilion pada 2016.

Katanya, jumlah pendapatan termasuk pendapatan operasi lain meningkat 5.4 peratus kepada RM7.02 bilion berbanding RM6.66 bilion pada 2016 yang mana pendapatan pembiayaan sebanyak RM5.11 bilion dan kekal sebagai penyumbang utama.

“Pendapatan pembiayaan meningkat 4.3 peratus kepada RM5.11 bilion daripada RM4.90 bilion pada 2016, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembiayaan perumahan dan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan pelaburan meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM1.25 bilion berikutan pengurusan aset kewangan yang berhemat dengan tumpuan terhadap risiko rendah namun hasil pendapatannya stabil.

“Di samping itu, Bank Rakyat juga mendapat manfaat tambahan keuntungan dari penilaian semula pelaburan hartanah sebanyak RM128.61 juta,” tambahnya.

Shukry berkata, baki pembiayaan kasar Bank Rakyat turut meningkat sebanyak 2.1 peratus atau RM1.45 bilion kepada RM70.63 bilion berikutan pertumbuhan segmen perbankan runcit dan korporat.  

Jumlah deposit pula bertambah 6.9 peratus atau RM5.34 bilion kepada RM83.24 bilion pada 2017 berbanding RM77.90 bilion pada 2016.

Dari segi aset, jumlahnya menokok 6.3 peratus atau RM6.23 bilion kepada RM105.45 bilion berbanding RM99.22 bilion pada 2016.

“Ia didorong oleh pertumbuhan kukuh aset perbendaharaan sebanyak 16.3 peratus atau RM4.30 bilion serta pertumbuhan aktiviti pembiayaan sebanyak 2.1 peratus atau RM1.45 bilion,” katanya.

Sementara itu Hamzah berkata, Bank Rakyat menyumbang sebanyak 2.0 peratus atau RM39.97 juta daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi manakala 1.0 peratus atau RM19.98 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

"Jumlah keseluruhan sumbangan bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM59.95 juta," katanya. - Bernama

Bank Rakyat

Artikel Lain