suria

Logo Harapan Untuk PRU-14 Diumum Minggu Depan

Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (Harapan) akan mengumumkan logo parti yang akan digunakan pada PRU-14 minggu depan.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Harapan sudah memuktamadkan logo pilihan namun masih ada beberapa lagi keputusan perlu diputuskan sebelum diumumkan.

“Kita dah muktamadkan tetapi ada sedikit saja lagi keputusan yang diperlukan dan kita akan putuskan dalam masa tidak lebih daripada seminggu,” katanya ketika ditemui di Parlimen, Selasa.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mengesahkan sama ada logo PKR atau Amanah yang dipilih oleh Harapan.

“Tunggulah, seminggu sahaja lagi,” ujar beliau.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan Harapan akan menggunakan satu logo sebagai pengenalan pada PRU-14 ini.

Katanya, logo tersebut akan dipilih dari mana-mana empat parti komponennya, iaitu PKR, DAP, Amanah atau Bersatu. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain