suria

Lelaki Ditembak Di Sekolah Anggota Geng 08

Mazlan Mansor.

SHAH ALAM: Lelaki yang mati ditembak di perhentian bas berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang, Serdang dekat sini Khamis lepas, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal turut menunjukkan kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar Serdang, membabitkan anggota kumpulan terbabit.

“Hasil siasatan menunjukkan mangsa dan juga suspek yang menembaknya, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap itu yang mana mereka ini dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran.

"Bagaimanapun masih terlalu awal untuk kita rumuskan motif kejadian sebenar kes ini…kita akan siasat daripada pelbagai sudut dan motif sebenar akan kita ketahui selepas tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan amal pilihan raya umum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, seorang daripada dua lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, mengakibatkan  mangsa terbunuh di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai latihan amal terbabit, Mazlan berkata ia adalah latihan fasa kedua peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjelang PRU-14.

Katanya seramai 16,000 anggota dan pegawai akan ditempatkan di semua daerah di negeri ini bagi memastikan kelancaran pilihan raya itu.

"Dengan kekuatan anggota ini, kita telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 kelak dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang pilihan raya itu berlangsung,” katanya. - Bernama

Geng 08

Artikel Lain