suria

Seorang Maut, Dua Cedera Kren Pelancar Galang Tumbang

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja maut manakala dua lagi selamat apabila kren pelancar galang dipercayai tumbang di tapak pembinaan MRT, di Jalan Jinjang, Sabtu malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11.40 malam itu mengakibatkan seorang pekerja meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Firdaus Abdul Mutalib, 41, telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamed Rafiq berkata mangsa yang cedera di bahagian kaki dikenali sebagai Zulhilmi dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Sementara itu, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) dalam satu kenyataan berkata tiada orang awam cedera dalam insiden itu, yang berlaku sepenuhnya dalam kawasan ruang kerja dan tidak menjejaskan mana-mana kawasan awam.

Tapak kerja terbabit berada di bawah Pakej Kerja V203 dan kontraktor pakej kerja (WPC) adalah IJM Construction Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, MMC Gamuda, merupakan  rakan penyampai pembinaan MRT Laluan SSP, bersama-sama pemilik projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, telah mengadakan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

“Kami ingin menyatakan bahawa penggunaan pelancar galang dalam pembinaan itu mengikut prosedur keselamatan yang ketat. Bagi yang telah dipasang adalah selamat," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga, pemeriksaan dan prosedur keselamatan telah dipertingkatkan  pada semua pelancar galang sedia ada bagi projek itu.

"MMC Gamuda, MRT Corp dan semua yang terlibat dalam projek ini menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa. Semua sokongan yang diperlukan akan diberikan kepada keluarga mangsa dalam masa sukar ini,” kata kenyataan itu.-Bernama

Kren Tumbang

Artikel Lain