suria

KWSP Sangkal Dakwaan Sarawak Report

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal keras dakwaan portal berita dalam talian, Sarawak Report, dalam catatan blog dan Facebooknya.

KWSP dalam satu kenyataan lewat Rabu berkata, ia tidak pernah berurusan mahupun memeterai sebarang perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau mana-mana pihak seperti yang dinyatakan oleh Sarawak Report.

"Justeru, tiada sebarang pemindahan bon atau dana seumpamanya kepada mana-mana syarikat, pihak atau individu seperti yang dinyatakan di atas berlaku seperti yang didakwa,” jelas KWSP.

Menurut dana pencen awam itu, satu ‘Surat Ganti Rugi' palsu bertarikh 20 Ogos, 2015, yang dialamatkan kepada Gyorgy Matrai of Limage Holding S.A. mendakwa satu perjanjian antara KWSP dan Limage Holdings S.A. telah dimaklumkan kepada KWSP pada 26 Oktober,  2015.

"Oleh sebab ini jelas merupakan dokumen yang dipalsukan, KWSP membuat laporan polis pada 28 Oktober, 2015,” jelas KWSP.

Satu ‘Surat Lantikan' bertajuk  “Development and Construction of Integrated Medical City Project For EPF” daripada TripleNiceTales Sdn. Bhd. bertarikh 18 Mei, 2015, dimaklumkan kepada KWSP pada 24 Februari, 2016.

Memandangkan terdapat pihak ketiga yang menyalahgunakan nama KWSP dan kecurigaan membabitkan penipuan, KWSP berkata ia membuat laporan polis pada 26 Februari, 2016, menyatakan yang KWSP tidak tahu menahu mahupun terlibat dalam urus niaga seperti yang dirujukkan dalam ‘Surat Lantikan' itu.

"Penglibatan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nic Manikis dimaklumkan kepada KWSP pada 20 Januari, 2017, dan laporan polis dibuat pada 23 Januari, 2017, menyatakan KWSP tidak tahu menahu mahupun terlibat dalam mana-mana urus niaga pelaburan dengan  Ladylaw Securities ataupun Nik Manikis,” kata dana itu.

KWSP menegaskan sebarang skim seumpama itu tidak akan melepasi rangka kerja tadbir urusnya yang kukuh dan mantap.

"Sebelum mana-mana keputusan pelaburan dibuat, proses tadbir urus kami memerlukan semua cadangan yang tertakluk kepada penilaian risiko ketat dan kajian terperinci oleh pengurusan.

“Semua kelulusan perlu melalui Jawatankuasa Pelaburan pengurusan bagi mendapatkan sokongan sebelum dikemukakan kepada Panel Pelaburan bagi kelulusan akhir,” kata KWSP.

Panel Pelaburan itu dianggotai profesional industri, pegawai kanan pengurusan KWSP, Bank Negara Malaysia dan kerajaan.-Bernama

KWSP, Sarawak Report

Artikel Sebelum

Artikel Lain