suria

Rogol: Sembilan Anggota Tentera Bebas Dengan Jaminan Polis

JOHOR BAHRU: Sembilan anggota tentera yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis berusia 17 tahun di Kluang pada pertengahan Disember lalu, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru,  ACP Mohamad Laham berkata kesemua suspek berusia 19 hingga 24 tahun itu diberikan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.

“Mereka dibebaskan sementara menunggu laporan kimia dan DNA.

“Berikutan semua mereka ialah penjawat awam maka kertas siasatan juga perlu dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Bukit Aman dan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua suspek sebelum ini direman bermula 23 Februari hingga Khamis (esok) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol berkumpulan.

Difahamkan semua suspek yang merupakan anggota tentera  dari Kem Mahkota, Kluang, ditahan selepas gadis berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, kira-kira jam 8.50 pagi Khamis lepas.

Difahamkan seorang daripada suspek merupakan teman lelaki gadis tersebut dan mangsa kini hamil sembilan minggu.-Bernama

Anggota Tentera, Rogol

Artikel Lain