suria

Pengurus Anak Syarikat Kerajaan Terengganu Didakwa Terlibat Rasuah RM5.4 Juta

Suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu ditahan bersama enam lagi ahli keluarga dan proksi kerana disyaki terlibat kes salah guna kuasa dan rasuah membabitkan nilai RM5.4 juta.

Suspek berusia 59 tahun itu disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara tahun 2010 hingga 2017.

Sumber berkata, syarikat-syarikat itu adalah milik isteri, anak, menantu dan proksi suspek yang dilantik bagi memberi perkhidmatan dan bekalan yang berkaitan dengan program serta kursus bernilai kira-kira RM5.4 juta.

"Anak syarikat Terengganu Inc itu merupakan milik kerajaan negeri Terengganu yang mengurus serta memberi latihan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

"Hasil siasatan awal mendapati pengurus pembangunan perniagaan itu telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memberi kontrak serta projek itu kepada syarikat milik ahli keluarga dan proksinya," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Tambah sumber, suspek memberi sebuah syarikat yang pengarah serta pemegang sahamnya terdiri daripada isterinya, 52, dan dua anaknya yang masing-masing berusia 34 dan 31 tahun.

Menantu perempuan yang berusia 34 tahun yang juga pemilik sebuah lagi syarikat turut diberikan projek.

Sumber berkata, projek itu turut diberikan kepada dua orang proksi yang juga merupakan pemilik syarikat yang masing-masing berusia 40 tahun.

"Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di Terengganu dan Ibu Negara bermula lebih kurang jam 9 pagi hari ini (Rabu)," katanya.

Menurut sumber lagi, syarikat-syarikat itu juga didapati tidak melaksanakan beberapa projek dan kursus tetapi telah membuat tuntutan pembayaran.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Dato' Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata pasukan penyiasat kini dalam proses mencari bukti-bukti yang dapat membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

SPRM

Artikel Sebelum

Jari Tersepit Mesin Jahit

Artikel Lain