suria

Ada 'Sesuatu', Darussyifa Bantu Rungkai Api Misteri

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa) tampil membantu merungkai misteri api yang membakar barangan di Rumah Teduhan Kasih di Bukit Beruntung, Selangor sejak 28 Januari lalu.

Prosedur yang dijalankan di pusat pemulihan penagih dadah pada malam Selasa itu membabitkan pengamal perubatan terkemuka dari cawangan Rawang.

Bercakap kepada mStar Online, perawat Darussyifa Rawang, Kamaruzaman Awang berkata, kehadiran mereka seramai 10 orang diketuai oleh penasihat cawangan, Apandi Husain.

Jelasnya, prosedur dilakukan selepas solat Isyak bermula dengan solat hajat, diikuti dengan bacaan surah Yasin, zikir dan doa.

"Kemudian kami melakukan 'rawatan' di sekitar kawasan Rumah Teduhan Kasih di dalam dan luar bangunan.

"Prosedur yang dilakukan selepas pukul 9.15 malam selesai kira-kira pukul 11 malam," katanya sambil menambah ia merupakan prosedur yang sering dilakukan terhadap bangunan-bangunan yang dipercayai mengalami gangguan makhluk halus.

Kamaruzaman berkata, pihak pengurusan Rumah Teduhan Kasih dinasihatkan untuk melakukan 'rawatan' seterusnya selama dua hari berturut-turut bermula Rabu.

"Kita minta mereka gunakan air bacaan Yasin dan garam serta lada hitam untuk direnjis dan ditaburkan di sekeliling kawasan rumah.

"Sebaik-baiknya ia dilakukan antara waktu Asar dan Maghrib," tambahnya secara ringkas.

Sementara itu, Pengurus Projek Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung, Tony Adam Mohd Amin berkata, Darussyifa merupakan pengamal perubatan yang ke-10 tampil membantu menyelesaikan kejadian 'api misteri' yang berlaku di pusat pemulihan itu.

Jelasnya, seramai 18 penghuni Rumah Teduhan Kasih termasuk kakitangan turut serta semasa prosedur tersebut, berikutan baki daripada 45 penghuni telah dipindahkan ke Sungai Buloh buat sementara waktu ekoran kejadian misteri yang berlaku.

"Mereka (Darussyifa) menjalankan prosedur 'memagar' kawasan rumah. Tidak dinyatakan apakah atau punca yang berlaku, tapi mereka mengakui kehadiran 'sesuatu'," katanya.

Selain pengamal perubatan, katanya, dua pasukan paranormal turut tampil membantu mereka sejak insiden 'api misteri' berlaku.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Darussyifa dan pihak lain yang sudi menghulurkan bantuan berhubung masalah yang dihadapi kami.

"Harapan kami semoga masalah yang berlaku di Rumah Teduhan Kasih dapat diselesaikan dengan segera, insyaAllah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Baldi Berisi Air Hangus Disambar Api Misteri

Pada Selasa, mStar Online melaporkan tentang api misteri di Rumah Teduhan Kasih apabila ia membakar beberapa barangan di kediaman itu termasuk menghanguskan sebuah baldi berisi air.

Sejak insiden pertama pada 28 Januari lalu, kejadian pada Selasa adalah kejadian pertama di mana 'api misteri' itu membakar baldi berisi air.

Baldi berkenaan diletakkan di rumah pemulihan penagih dadah itu sebagai persediaan sekiranya kejadian kebakaran berulang.

Artikel Sebelum

UM Melonjak Ke-46 Di Asia

Artikel Lain