suria

Sindiket Curi Kereta Tumpas Kerana Kad Touch 'n Go

Gambar hiasan.

SEPANG: 'Geng Sidi' yang aktif menyamun kereta mewah dan klon kenderaan tumpas selepas kesemua lapan anggotanya termasuk ketua mereka diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya juga berjaya menemui kembali lima daripada lapan kereta mewah yang disyaki dilarikan anggota kumpulan terbabit di sekitar Selangor selain menyita tiga kenderaan klon di Mantin, Negeri Sembilan.

Kesemua suspek berumur antara 27 dan 40 tahun itu diberkas dalam beberapa serbuan dari 20 hingga 22 Januari lalu.

"Ketua 'Geng Sidi' ditangkap di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor, katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Abdul Aziz berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar pada November lalu berikutan laporan insiden langgar belakang dan samun kereta Audi A4 2.0 TFSI di Putra Perdana, Puchong.

Katanya, suspek dikesan menggunakan kad Touch 'n Go kepunyaan pemilik kereta Audi yang dilarikan selepas insiden itu.

Beliau berkata, enam daripada anggota kumpulan itu juga didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau bersabit curi kenderaan.

"Hasil soal siasat yang dijalankan kesemua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan samun serta klon kenderaan.

"Soal siasat juga mendapati geng ini menjual kesemua kenderaan yang disamun dalam negara," katanya.

Abdul Aziz juga berkata, suspek mengakui ketiga-tiga kenderaan klon yang disita di sebuah rumah di Mantin, Negeri Sembilan itu, beliau berkata ia dibawa masuk dari negara jiran.

Polis sedang giat mengesan baki tiga lagi kenderaan yang dilarikan kumpulan ini termasuk kereta Audi yang disamun di Putra Perdana, katanya. - Bernama

Touch n' Go

Artikel Sebelum

Artikel Lain