suria

Penduduk PPR Seri Pantai Tak Serik!

Kontraktor giat melakukan kerja-kerja pemasangan jaring di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kejadian malang yang meragut nyawa adik S. Sathiswaran, 15, dalam kejadian pada 15 Jan lepas, masih belum dijadikan iktibar oleh penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ) mewujudkan suasana selamat pada PPR itu dengan memasang jaring keselamatan, sebaliknya hanya menimbulkan pandangan kurang menyenangkan apabila ia kini menjadi 'perangkap' kepada pelbagai sampah yang dibuang penduduk rumah pangsa itu dari tingkat atas.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai jenis sampah, kebanyakannya ialah bungkusan makanan dan minuman, terdapat di atas jaring tersebut.

Pada 15 Jan lepas, S. Sathiswaran maut di tempat kejadian pada 8.10 malam di Blok 102 di PPR Seri Pantai ketika sedang melalui.

Kejadian itu, bagaimanapun tidak mampu mendidik penduduk di situ untuk belajar supaya tidak lagi melontar sampah sesuka hati mereka tanpa rasa bersalah.

Surirumah, Suzana Mohamad, 42, melahirkan rasa kesalnya dengan sikap segelintir penduduk PPR itu yang masih tiada kesedaran dalam menjaga kebersihan sehingga mengganggu gugat keselamatan serta keharmonian penduduk di kawasan tersebut.

Katanya beberapa tahun lepas ketika sedang berjalan di bawah bangunan, anak lelakinya ditimpa sebatang kayu besar pada kepalanya sehingga menyebabkan dia (anak) menerima tujuh jahitan.

Sathiswaran maut di tempat kejadian selepas dihempap sebuah kerusi yang dicampak oleh seorang penduduk.

“Bukan itu sahaja, kepala kakak saya juga pernah cedera terkena kaca yang jatuh dari atas. Selepas semua kejadian ini, kami berasa takut untuk lalu di kawasan tanpa bumbung,” katanya yang telah menetap di PPR itu sejak 16 tahun lalu.

Suzana memuji tindakan DBKL memasang jaring keselamatan di PPR itu yang sedikit sebanyak membuatkan penduduk rasa lebih selamat untuk berjalan.

“Walaupun ia (jaring) selamat, mungkin tembok konkrit lebih sesuai untuk jangka masa panjang kerana kita tidak tahu jaring boleh bertahan sampai bila. Apatah lagi jika ada penduduk yang membuang barang yang besar dan berat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamarudin Baba, 55, berkata sejak beliau menetap di PPR itu 16 tahun lalu, beliau sering merasa takut untuk berjalan di kawasan terbuka dan akan cuba melalui jalan yang berbumbung.

“Saya kerap kali lihat sampah besar dibuang dari atas malah tingkap kaca juga sering jatuh ke bawah. Mujur juga saya tidak pernah mengalami kemalangan ditimpa barang tapi itu tetap tidak hilangkan rasa takut saya.

“Penduduk tidak kira kaum dan agama perlu ubah mentaliti dengan memberi pendidikan sivik kepada anak-anak mereka tentang betapa buruknya kesan perbuatan itu kepada orang lain,” katanya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Wan Mohammad Ghazali Nor pula berkata pihaknya telahpun memasang jaring keselamatan di PPR itu bagi mengatasi risiko kemalangan.

"Buat masa ini kita hanya pasang jaring di PPR Seri Pantai sahaja, namun kita akan lihat keberkesanannya sebelum dilaksanakan di PPR dan Perumahan Awam lain," katanya kepada Bernama.

PPR Seri Pantai, DBKL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain