suria

Azmin Jamin Isu Agihan Kerusi Akan Selesai

Azmin Ali.

PUCHONG: Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan bahawa isu pengagihan kerusi bagi Dun Selangor akan diselesaikan dengan secepat mungkin.

Beliau berkata, perkara itu akan diselesaikan mengikut semangat kekeluargaan membabitkan kesemua parti komponen dalam Harapan.

"Alhamdulillah... bagi saya isu itu tidak lagi berbangkit kerana saya yakin perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Ia boleh diselesaikan dengan semangat kekeluargaan," katanya kepada pemberita ketika hadir pada sambutan Perayaan Hari Ponggal 2018 peringkat Selangor, di Batu 14, di sini malam Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan isu pengagihan kerusi hingga berlaku salah faham antaranya dan juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim beberapa hari lalu.

Terdahulu, Mohamed Azmin mendakwa beliau sudah mengadakan pertemuan sebanyak empat kali dengan jawatankuasa rundingan kerusi untuk berbincang bukan sahaja berkenaan pembahagian kerusi namun isu lain berkaitan dengan PRU14.

Beliau berkata, rundingan kerusi merupakan isu utama dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut.

Dakwaan itu kemudiannya dinafikan Izham dan melabelkan Azmin sebagai berbohong dalam soal rundingan kerusi di negeri itu.

Izham turut menyifatkan Azmin sebagai 'badut' dan tidak layak menjadi Menteri Besar.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas teguran Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Selangor itu berkata, ia satu nasihat yang baik yang akan beliau patuhi.

"Apa yang penting soal agihan kerusi ini akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Kemelut pengagihan kerusi di Selangor turut mendapat teguran daripada Tun Mahathir.

Beliau berkata, pertelingkahan terbuka antara parti komponen gabungan itu di Selangor mengundang publisiti buruk dan meminta semua pihak yang bertelingkah agar berhenti menyerang sesama sendiri. - Sinar Online

Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Padah Ejek Rakan OKU

Artikel Lain