suria

“Polis, Saya Minta Maaf Tapi...”

Kuan Chee Heng.

PETALING JAYA: “Saya mohon maaf polis,” kenyataan yang dibuat aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng di Facebooknya pada Ahad mengejutkan netizen.

Chee Heng membuat ‘posting’ tersebut susulan insiden seorang warga asing dipercayai memecah masuk ke sebuah rumah menerusi laluan tong sampah di Puchong, Selangor.

Namun beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia menjelaskan bahawa individu berkenaan sebenarnya merupakan salah seorang penyewa di kediaman itu.

“Saya mohon maaf kerana mereka bukan penjenayah, tetapi kalau penjenayah sudah pasti lekat.

“Syabas dan tahniah Polis Subang Jaya. Anda meyakinkan kami sebagai rakyat Malaysia. Penduduk memberi ‘thumbs up’ (tanda bagus) kepada polis,” katanya.

Chee Heng ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada kira-kira pukul 1 tengah hari Ahad.

'Posting' di akaun Facebook milik Kuan Chee Heng mengenai insiden dipercayai pecah masuk.

Beliau kemudian menghubungi polis sebelum pihak berkuasa itu tiba di lokasi kejadian di Taman Tasik Prima, Puchong dalam masa tujuh minit.

“Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya merupakan penyewa dan ketika kejadian dia tidak membawa kunci pintu pagar utama sehingga memaksa menggunakan laluan tong sampah untuk masuk ke rumah.

“Memang ada penghuni yang cuba melarikan diri. Tapi sebab mereka warga asing dan tiba-tiba polis datang, dah tentu mereka terkejut,” katanya sambil menambah bahawa tiada penahanan dibuat terhadap suspek dan individu lain di rumah tersebut.

Chee Heng yang turut bergegas ke lokasi kejadian memuji polis di atas kepantasan dan kecekapan mereka memberi respons terhadap panggilan berhubung insiden.

Walaupun insiden tersebut sekadar salah faham, tetapi beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak polis sekiranya mencurigai sesuatu di kawasan kejiranan mereka.

“Tak semestinya dah tahu itu penjenayah, baru kita nak telefon polis. Kalau polis tak datang periksa dan siasat, macam mana kita nak tahu. Kita serahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Jadi, kalau ada sesuatu yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal anda, terutama membabitkan individu yang tidak dikenali, segeralah hubungi polis,” kata Chee Heng sambil menambah tiada laporan polis dibuat berhubung insiden. 

Kuan Chee Heng, polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Nasib Tak Kena Sodok!

Artikel Lain