suria

Masak Laksa 'Rokmo'

KAMPUNG GAUNG PECUNG: Menghasilkan laksa secara tradisional menggunakan alat dikenali sebagai kebok bukan sesuatu yang asing bagi kebanyakan kampung di Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, terdapat juga kaedah lain digunakan generasi terdahulu untuk memasak dengan meletakkan kawah atau periuk besar di atas lubang yang digali atau lebih dikenali sebagai ‘rokmo’.

Kaedah ini bukan saja diguna pakai untuk menghasilkan laksa kebok, tetapi juga masakan lain terutama gulai untuk majlis kenduri melibatkan kuantiti yang banyak.

Sinar Harian berkesempatan melihat sendiri cara memasak menggunakan 'rokmo' pada Program Gotong-royong Buat Laksa Kebok, yang turut dikenali sebagai ‘romo’ atau ‘tunggey’ bagi sesetengah tempat.

Berkongsi cerita, Mohammad Mat Amin, 60, berkata, kaedah 'rokmo' mempunyai kelebihan tersendiri kerana nyalaan api lebih sekata, selain dapat mengurangkan bahang ketika memasak.

“Selain kawah, periuk besar juga boleh digunakan. Awalnya kita perlu gali lubang lebih kurang 0.5 meter untuk menempatkan kawah dan lubang memanjang untuk letak bahan bakar. Dua-dua kena bersambung di bawah.

“Kita pilih kaedah ini untuk beri pendedahan pada generasi muda. Selain digunakan untuk rebus laksa atau masak gulai kenduri, masyarakat di sini turut gunakannya untuk masak gambir dan bubur asyura," katanya.

Tambahnya, kaedah ini jarang dipraktikkan masyarakat masa kini dengan adanya gas memasak yang lebih mudah kerana tidak perlu mencari kayu api.

Kongsi duit sedia bahan masakan

Menyentuh aktiviti gotong-royong membuat laksa kebok, Mohammad yang lebih dikenali sebagai Ayah Mat berkata, penganjuran kali ini adalah hasil permuafakatan masyarakat setempat yang mahu menghidupkan kembali amalan tradisi.

Menurutnya, semua yang terlibat sanggup menyumbang RM30 seorang untuk membeli bahan masakan sekali gus mampu menjadi platform terbaik dalam mengeratkan lagi hubungan penduduk.

“Tahun lalu kita pernah adakan gotong-royong bakar lemang. Masa tulah ada cadangan untuk buat laksa secara tradisional pula. Sekitar dua minggu lalu, cadangan itu kembali diutarakan dan terus jadi kenyataan hari ini.

“Bila diusulkan pada JKKK Gaung Pecung, cadangan itu terus dipersetujui. Sebanyak 100 kilogram beras digunakan untuk hasilkan laksa ini. Kebok pula ada yang pinjam dari kampung lain, ada juga milik penduduk kampung ini sendiri,” katanya.

Gembira rokmo dihidupkan semula

Sementara itu, seorang penduduk, Yusof Ali, 92, berkata, dia sebagai orang lama gembira apabila gotong-royong buat laksa sedemikian kembali diadakan dan berharap agar terus dihidupkan sepanjang masa.

“Dah lama tak dok (tiada) aktiviti begini, mungkin dah lebih 50 tahun. Hari ni dapat lihat semula di kampung ini. Tokok hanya mampu tengok saja, hendak pusing kebok dokrok (tidak larat) lagi dalam umur macam ni.

“Kalau dulu buat atas pasir tepi sungai untuk mudah ambil air, tapi lening (kini) dok doh (tiada lagi). Namun suasana meriah masih boleh dilihat kerana semua orang buat sama-sama cara gotong-royong,” katanya.

laksa, rokmo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tak Mungkin PM Ketujuh

Artikel Lain