suria

Tebar Roti Canai Dari Myanmar Ke Bangladesh

Pengalaman Muhammad berniaga roti canai selama 15 tahun ketika di Myanmar dikongsi untuk manfaat insan senasib yang kini bergelar pelarian di bumi Bangladesh.

COX’S BAZAR, BANGLADESH: Doh yang siap diuli tadi dilenyek, sebelum ditebar. Satu demi satu selamat mendarat di atas kuali leper yang mencecah kepanasan maksima. Api diperlahankan sebelum menyambung tebaran doh lain.

Hayunan tangan yang menebar tepung roti paratha atau canai itu terus mengikut irama yang pernah dimainkan sejak 15 tahun lalu.

Bagaikan mengimbau keamanan di bumi Myanmar, rutin itu kini berubah lokasi.

Muhammad Mahmood, 50, salah seorang pelarian di Kem Balukhali di sini, kini memainkan peranan berbeza.

Pengalaman selama 15 tahun menjalankan perniagaan roti canai ketika di Myanmar dimanfaatkan dengan memberi latihan kemahiran sama kepada pelarian lain dalam usaha meningkatkan taraf hidup kelompok di situ.


Usaha itu merupakan salah satu daripada inisiatif yang digerakkan oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, menerusi dana tabung SINAR4ROHINGYA kelolaan akhbar Sinar Harian.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, berkata, ia merupakan bentuk bantuan menjana ekonomi pelarian di situ dengan melantik Muhammad sebagai tenaga pengajar kepada wakil madrasah di kem berkenaan.

Menurutnya, dengan dana sama, peralatan memasak dibekalkan kepada pelarian terlibat sebagai bantuan modal kepada mereka untuk menjana wang.

“Latihan diberikan dengan mengajar mereka cara menyediakan roti canai dari mula hingga masak termasuk cara memasak kuah dal.

“Strategi jualan adalah dengan menyewa shelter yg terletak di laluan utama di mana turut disediakan meja , kerusi, pinggan dan air minum untuk pelanggan boleh makan di situ juga seperti kedai makan,” katanya.

Tambah Mohd Hakim, dengan peruntukan perbelanjaan modal sebanyak RM13,400 itu mampu menjana pendapatan pelarian terlibat sehingga 5,000 taka atau RM250 sehari.

“Sasaran jualan ialah 500 hingga 1,000 roti canai setiap hari. Jualan ialah 5 taka setiap keping. Ini bermakna setiap hari boleh jana pendapatan sebanyak 2500 -5,000 taka bersamaan RM125 hingga RM250 . Lokasi terletak di Kem Balukhali 2,” katanya. - Sinar Online

roti canai, Rohingya

Artikel Sebelum

Dua Maut Nahas Di Setiu

Artikel Berikut

Artikel Lain