suria

Dua Maut Nahas Di Setiu

Foto Facebook.

SETIU: Dua pemuda maut dan tiga cedera dalam kemalangan di Kampung Saujana, kilometer 68 Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja, di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Zulkifli Mat Deris berkata kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.15 malam Jumaat itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna dan dua motosikal.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah Kuala Terengganu melanggar dua motosial iaitu jenis Honda Dash dan sebuah lagi belum dikenal pasti sehingga terkeluar dari simpang sebelah kiri jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, sebuah daripada motosikal terbabit telah terbakar," katanya.

Penunggang dan pembonceng motosikal Honda Dash yang berusia 23 dan 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan teruk pada kepala.

Zulkifli berkata keadaan jalan yang basah selepas hujan dan gelap tanpa lampu mungkin juga antara faktor kemalangan berkenaan.

"Pemandu kereta yang juga seorang doktor cedera pada tangan dan kaki, manakala penunggang dan pembonceng motosikal berumur 19 dan 20 tahun yang masih belum dikenal pasti itu luka pada dagu, badan, tangan dan kaki," katanya.

Jelasnya, tiga lagi penumpang kereta berusia 11, 14, dan 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

kemalangan, Setiu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain