suria

Bauksit: Pengusaha Wajib Tandatangan Aku Janji

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik penyitaan stok simpanan bauksit yang dianggarkan lebih 10 juta tan di Pahang.

Keputusan itu dibuat setelah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Geosains dan Mineral serta Kerajaan Negeri Pahang bersetuju memperkenalkan peraturan baharu bagi mengekang isu perlombongan bauksit secara tidak sah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kerugian kepada hasil kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, tindakan ini diyakini dapat membantu dalam mengurangkan isu rasuah dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan aktiviti bauksit haram ini.

"Penarikan balik arahan penyitaan bauksit itu adalah bagi membolehkan pengusaha-pengusaha bauksit mengeluarkan stockpile itu dalam tempoh morotarium yang masih berkuat kuasa.

"Perlu diingatkan, penarikan balik arahan penyitaan ini tidak bermakna perlombongan baharu dibenarkan di negeri tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Menurut kenyataan sama, NRE dan kerajaan negeri juga telah menetapkan peraturan-peraturan yang perlu diakuri oleh pengusaha-pengusaha bauksit bagi menjamin pengeluaran stok simpanan bauksit dibuat secara teratur.

Sehubungan itu, kata Azam, pengusaha bauksit perlu menandatangani aku janji sebelum permohonan Approval Permit (AP) untuk mereka mengeluarkan stockpile diluluskan NRE.

"Antara aku janji tersebut juga adalah bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

"SPRM akan bekerjasama dengan pihak NRE dan kerajaan negeri dalam memantau pemindahan stok simpanan  bauksit yang telah diluluskan dan juga untuk memastikan tidak berlakunya perlombongan bauksit baharu di kawasan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri setakat ini," katanya.

Azam berkata, jika mana-mana pihak didapati terlibat dalam perlombongan bauksit secara tidak sah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai dapat memberi kerjasama kepada SPRM dengan membekalkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti perlombongan bauksit secara haram supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

SPRM, bauksit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain