suria

Empat Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat menghentikan penggunaan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin serta segera mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua produk Progressive Mix Industries iaitu Nuriz Shoppe-Uv Pearl Cream dan Nuriz-D'Solve didapati mengandungi merkuri.

Produk Aura Gorgeous Beauty  and  Healthy iaitu Aura Gorgeous Night Cream juga dikesan mengandungi merkuri manakala  produk Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd iaitu NV Anti Blemish Toner 1 pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

Beliau memberi amaran kepada para penjual dan pengedar supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

"Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Dr Noor Hisham berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula  boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Kedua-dua bahan racun itu, yang sering digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih, mengelupas, dan hipersensitif. 

"Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV serta meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan bahawa merkuri merupakan bahan toksik yang perlu dielakkan sama sekali dalam apa jua produk kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudian memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.

“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di [email protected] atau menghubungi talian 03-78835400.

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang  http://npra.moh.gov.my/   -- Bernama

merkuri, Noor Hisham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain