suria

Sebulan Setengah Tempoh Ganti Pasport Lama

Wajah baharu pasport. Foto: FAIHAN GHANI/ The Star.

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kira-kira 81,000 pemegang pasport Malaysia masih  menggunakan dokumen itu yang mempunyai ciri-ciri lama, dengan ia akan diganti sepenuhnya dalam masa terdekat.

Beliau berkata dalam  tempoh satu setengah bulan lagi, kesemua pemegang pasport negara akan menggunakan dokumen perjalanan baharu yang mengandungi ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan.

“Kita mempunyai kapasiti pengeluaran pasport sebanyak lima juta setahun dan kita masih mempunyai tidak lebih 90,000 stok pasport lama yang masih boleh digunakan… tetapi pada masa sama, kita mula mengeluarkan pasport dengan ciri baharu.

“Stok untuk pasport lama terlalu sedikit iaitu 81,000 sahaja dan dalam sebulan setengah, jumlah itu boleh habis apatah lagi dengan musim cuti sekolah sekarang,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan merasmikan kilang baharu Datasonic Group Bhd di sini, Khamis.

Beliau berkata antara ciri keselamatan baharu yang dipertingkatkan dalam pasport Malaysia ialah penggunaan biometrik dan pengenalan wajah selain semua ciri yang mematuhi  piawaian ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ciri-ciri baharu itu akan memastikan dokumen perjalanan rasmi itu tidak boleh dipalsukan walaupun dengan sistem teknologi terkini.

Beliau berkata ciri-ciri itu juga berjaya meningkatkan tahap kecekapan pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Bagi permohonan untuk memperbaharui pasport, Jabatan Imigresen hanya mengambil masa 15 minit sahaja selepas pembayaran dibuat untuk mengeluarkan pasport baharu, manakala permohonan pasport baharu pula hanya satu jam selepas pembayaran dibuat,” katanya.

Sementara itu, Datasonic  berkata kilang itu memulakan operasi membekalkan pasport baharu itu pada Oktober lepas dengan mengeluarkan hampir 650,000 dokumen itu, yang digunakan rakyat Malaysia mulai 15 November lepas.

Pasport Malaysia yang baharu itu mengandungi ciri-ciri dipertingkatkan dengan mematuhi  piawaian ICAO termasuk cip terbenam, tiga alur keselamatan berwarna serta penggunaan  cahaya ultraungu untuk mengesahkan ketulenannya.

"Konsep reka bentuknya yang dipertingkatkan itu menampilkan budaya Malaysia seperti bunga raya, bunga anggerik, halia merah, burung rimba telinga perak dan Rukunegara," kata syarikat itu dalam kenyataan di sini.

Tahun  lepas, syarikat itu dianugerahkan kontrak bernilai RM233.38 juta untuk membekalkan pasport selama lima tahun dari 1 Dis 2016 hingga 30 November 2021. -Bernama

Pasport baharu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain