suria

Pujuk Wanita Bersalin Dalam Tandas Serah Bayi

Nurul Shuhada menunjukkan kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling, Shamsul Izrin Isahak lokasi di mana seorang wanita dipercayai melahirkan bayi di tandas sebuah stesen minyak di Baling, Ahad.

BALING: Seorang pekerja sebuah stesen minyak di sini tidak akan melupakan insiden seorang bayi lelaki diserahkan kepadanya oleh seorang wanita yang baru melahirkan anaknya dalam tandas pada petang Ahad.

Nurul Shuhada Mat Shukri, 25, berkata dia gembira tindakannya memujuk wanita berusia 30-an itu yang baru keluar tandas stesen minyak itu  kira-kira jam 2.15 petang dengan membawa 'sesuatu' yang berbungkus dengan kain batik supaya diserahkan kepadanya akhirnya berhasil.

“Memang dia marah tetapi saya tidak jemu-jemu memujuknya agar benda berbungkus yang saya yakin ia adalah bayi yang baharu dilahirkan kerana terdengar tangisan agar diserahkan kepada saya kerana khuatir wanita itu akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.

"Jika tidak lakukan sesuatu, saya khuatir wanita itu akan buang bayi itu dan disebabkan itulah saya tidak henti-henti memujuknya walaupun dimarahi.

"Saya lega sebaik saja dapat memeluk bayi itu dan terus membuat laporan polis sebelum bayi itu di hantar ke hospital untuk rawatan dan penjagaan,” katanya ketika ditemui pemberita di stesen minyak berkenaan di sini, Ahad.

Nurul Shuhada berkata selepas menyerahkan bayi berkenaan, wanita itu sempat berpesan agar menjaganya dengan baik sebelum memandu sebuah kenderaan Proton Waja dalam keadaan kesakitan dan keletihan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

"Bagi kes semalam, kita sedang menyiasat dan mengesan wanita itu termasuk melalui ujian perbandingan darah bayi itu untuk tujuan (ujian) DNA,” katanya.

Beliau berkata, bayi berkenaan kini  menerima rawatan di Hospital Baling dan dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu,  Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata, JKM Baling  akan mendapat Perintah Hak Perjagaan Sementara mengikut Seksyen 25( 2) ( A)  Akta Kanak- Kanak 2001 Pindaan 2016 daripada Mahkamah Sesyen Baling.

Beliau berkata, bayi ini akan ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberikan perlindungan sewajarnya.

DNA, Shariffuddin, Baling

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain