suria

Kek Kahwin Kawanku Musnah!

PETALING JAYA: Hari perkahwinan umpama detik bersejarah yang paling dinanti-nantikan setiap pasangan mempelai bagi meraikan detik bahagia setelah sah diijabkabul sebagai suami isteri.

Selain pasangan merpati dua sejoli, kaum keluarga dan kenalan rapat turut teruja untuk memastikan majlis perkahwinan pasangan yang diraikan itu sempurna dan mampu memberikan kenangan terindah seumur hayat.

Namun, lain ceritanya bagi seorang wanita yang berhasrat untuk menaja kek perkahwinan buat sahabat karibnya yang ditempah daripada seorang pembuat kek terkenal apabila ia bertukar menjadi detik memalukan yang tidak mungkin dilupakan.

Kecewa dengan situasi itu, Syahilla Aziz memuat naik posting pada Sabtu malam mendedahkan pengalamannya dilayan acuh tidak acuh oleh pembuat kek tersebut sejurus wanita itu membuat bayaran sebanyak RM520 pada Isnin lalu.

Status yang dimuat naik oleh Syahilla menerusi akaun Facebook miliknya pada Sabtu malam.

Melalui posting tersebut, Syahilla mendakwa dia menempah kek perkahwinan dua tingkat yang dihiasi bunga segar dan bertemakan filem The Great Gatsby berwarna hitam, putih dan emas.

Namun, kek yang diterima pada majlis tersebut sama sekali tidak mengikut tema seperti yang dipinta oleh Syahilla dan didakwa tidak sepadan dengan harga yang dikenakan oleh pembuat kek itu.

Wanita yang berusia 31 itu ketika dihubungi mStar Online berkata, selepas posting tersebut mendapat perhatian netizen di Facebook, pihak pembuat kek terbabit tampil menghubunginya untuk membuat permohonan maaf secara peribadi.

"Rakan kongsi pembuat kek itu memberitahu bahawa dia dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad kerana mempunyai masalah kesihatan.

"Saya diberitahu bahawa rakan kongsinya sudah beberapa kali menyuruh dia mengembalikan wang yang telah dibayar dan membatalkan tempahan, namun dia bertegas untuk melakukannya kerana saya bekas pelajar kelas membuat kek yang pernah dianjurkannya," kata  Syahilla.

Seorang netizen berkongsi pengalaman yang dialaminya selepas berurusan dengan pembuat kek tersebut.

Pembuat kek popular tersebut memiliki sekitar 95,800 pengikut di Instagram. 

Menurut Syahilla, akaun Facebook miliknya turut dihujani pesanan peribadi daripada netizen yang mendakwa pernah 'terkena' dengan pembuat kek yang sama.

"Saya dapat tahu daripada seorang kawan yang awak pun terkena dengan B***** B*******.

"Tidak terkejut 'babe', saya pun terkena. Sangat tidak bertanggungjawab bila kita buat aduan...diam," tulisnya kepada Syahilla.

Sementara itu, pemerhatian mStar Online mendapati pembuat kek tersebut telah menetapkan akaun Instagram miliknya ke mod privasi dan usaha untuk menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan tidak berjaya.

pembuat kek, kek kahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain