suria

Buka Akaun Untuk Anak-Anak Tunai Haji Usia Muda

SEMPORNA: Ibu bapa digalak membuka akaun Tabung Haji (TH) untuk anak-anak seawal usia kerana pelbagai faedah bakal diperoleh golongan itu, kata Pengarah Lembaga TH Sabah Datin Nurlaila Said.

Beliau berkata, saranan itu berikutan perbandingan tidak selari antara penduduk Islam Sabah yang mencecah dua juta orang, namun pendeposit TH hanya 542,000 orang.

"Ibu bapa boleh membuka akaun untuk anak-anak sekali gus mendaftarkan haji untuk mereka dan dengan ini, anak-anak memiliki peluang menunaikan haji pada usia muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program himpunan persaudaraan hujjaj peringkat daerah Semporna – jemaah TH yang disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang Datuk Seri Nasir Sakaran di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Nurlaila berkata pihaknya mengedarkan kira-kira 700 surat tawaran kepada pendeposit TH yang terpilih menunaikan haji pada tahun depan.

"Kami turut memohon kepada mana-mana pendeposit yang mungkin terpilih tahun ini, tetapi ekoran bertukar alamat dan tidak menerima surat tawaran supaya datang kepada pejabat TH berhampiran untuk kemas kini alamat dan penyerahan surat tawaran," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin setempat yang sentiasa mendukung usaha TH dengan mengadakan program yang membantu penduduk membuka akaun TH.

Sementara itu, Nasir menasihatkan umat Islam negeri ini mengambil peluang untuk menghadiri kursus-kursus asas haji yang disediakan TH sebagai persediaan awal menunaikan ibadah berkenaan. - Bernama


Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dua Warga India Maut Ditetak

Artikel Lain