suria

Gunung Agung: Pelajar Malaysia Selamat

JAKARTA: Semua pelajar Malaysia di Bali dilaporkan dalam keadaan selamat dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia melakukan pemantauan secara berterusan berikutan perkembangan terkini berkaitan letusan  gunung berapi Gunung Agung.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata ketika ini terdapat 155 pelajar Malaysia yang didaftarkan sebagai pelajar perubatan di Universitas Udayana, Bali.

"Setakat ini tiada sebarang pelaporan insiden luar jangka melibatkan pelajar Malaysia atau rakyat Malaysia  susulan status gunung berapi Agung yang kini dinaikkan kepada tahap IV (Awas) daripada tahap III (Siaga) sebelum ini, berikutan peningkatan berlakunya letusan," katanya pada Isnin.

Zahrain berkata pihak kedutaan juga sedang mengenal pasti jumlah rakyat Malaysia selain pelajar yang kini berada di Bali, terutamanya yang mempunyai urusan peribadi atau melancong.

"Kedutaan Malaysia menyarankan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai urusan penting supaya menangguhkan dahulu rancangan mereka ke Bali ketika ini," katanya.

Rakyat Malaysia yang ketika ini berada di Bali dinasihatkan supaya sentiasa memaklumkan keadaan mereka dengan menghubungi  Kedutaan Malaysia di Indonesia di talian  +62215224047 atau +6281380813036.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), gunung berapi itu kini semakin aktif mengeluarkan asap dan abu vulkanik sejak mula meletus pada 21 Nov lepas.

Memetik laporan media dalam talian tempatan, beberapa letusan lagi dilaporkan aktif berlaku pada 25 Nov dan semalam, mengeluarkan asap tebal setinggi 3,000 meter dan Zon Perkiraan Bahaya juga diperluaskan kepada lapan kilometer dari kawah gunung berbanding enam kilometer sebelum ini.

Menurut PVMBG ketika ini keadaan gunung itu dilihat berpotensi untuk mengeluarkan letusan besar.-Bernama

Gunung Agung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain