suria

“Tak Salah Conteng Baju Sekolah, Tapi...”

PETALING JAYA: Segelintir netizen kurang setuju apabila pakaian seragam sekolah diconteng pelajar, dengan alasan untuk meraikan hari-hari terakhir persekolahan mereka. 

Amalan ini dibuat terutamanya oleh mereka yang telah selesai atau masih menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, yang pada masa ini berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi.

Ada netizen berpendapat baju tersebut sekiranya tidak digunakan lagi sebaik-baiknya disedekahkan kepada adik-beradik lain atau mereka yang lebih memerlukan.

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Razali Othman berpandangan, tindakan menconteng baju sekolah sebagai kenang-kenangan selepas habis belajar bukanlah satu kesalahan.


Bagaimanapun katanya, ia boleh dilakukan secara 'lebih sopan' tanpa perlu memakai baju yang diconteng itu untuk ditayang secara terbuka di tempat awam.

“Saya berpendapat ia sebagai tanda kenang-kenangan bersama rakan-rakan pada masa akan datang untuk diimbas kembali zaman persekolahan mereka.

“Tak salah conteng baju sekolah, tapi biarlah dengan cara bersopan, disimpan dengan baik dan bukannya dibuang selepas diconteng,” katanya kepada mStar Online.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan kisah beberapa gambar baju sekolah lengkap, termasuk tudung yang diconteng dan tular sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan Budak-Budak Tu Bogel Pun!”

Dr Razali Othman 

Razali berkata, kebiasaannya hanya sehelai baju yang diconteng sebagai kenang-kenangan dan jika pelajar mempunyai lebih dari satu uniform ia boleh digunakan semula.

Sehubungan itu katanya, lebihan baju terpakai itu boleh disumbangkan kepada mereka yang memerlukan sekiranya ia masih dalam keadaan baik.

“Kalau sehelai yang diconteng, ada baki sehelai dua lagi. Kalau masih elok untuk dipakai, lebih baik disumbangkan daripada dibuang begitu saja,” ujar Razali.

Wazan yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2016 di bawah Pejabat Naib Canselor UPM, antaranya berfungsi mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap budaya memberi untuk kepentingan ramai, menerusi ibadah wakaf, zakat dan sumbangan umum.

Dalam pada itu, Razali memperkenalkan Projek Baju Sekolah, satu inisiatif Wazan untuk mengumpulkan keperluan sekolah yang terpakai atau baharu. 

Lebihan baju yang tidak diconteng dan masih elok digunakan sebaik-baiknya disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Selain baju sekolah, katanya, sumbangan itu termasuk kasut sekolah, alat tulis dan buku teks untuk dikumpulkan di kedai percuma atau Freeshop Wazan (FSW).

Beliau menjelaskan, FSW yang terletak di Pejabat Wazan di UPM, Serdang memberikan pengalaman membeli-belah tanpa bayaran kepada golongan tidak berkemampuan bagi mendapatkan barang keperluan mereka.

Freeshop Wazan bukan saja ada barang sekolah tetapi pelbagai keperluan lain yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

“Ada yang datang bawa anak-anak untuk mendapatkan baju sekolah dan dari raut wajah mereka jelas terpancar kegembiraan dan menghargai pemberian itu," katanya. 

Bagaimanapun Razali berkata, setiap sumbangan itu perlu dipastikan masih dalam keadaan baik dan boleh dipakai semula.

Projek Baju Sekolah dikendalikan Wazan bermula dari 13 November sehingga 8 Disember, dengan waktu penghantaran dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Wazan, SPM, UPM, conteng, Dr Razali Othman

Artikel Sebelum

Pesta Ikan Air Bah

Artikel Berikut

KLIA Sesak Perkara Biasa

Artikel Lain