suria

Dua Anggota Bomba Parah Disambar Api

IPOH: Dua anggota bomba cedera parah akibat disambar api ketika menjalankan operasi memadam kebakaran silo di sebuah kilang membuat papan lapis di Kawasan Perindustrian IGB Tasek, pagi Sabtu.

Kejadian jam 8.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Shazlan Mohd Hanafiah, 32, dan rakan sekerja, Mohd Azri Aziz, 30, masing-masing bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, mengalami lecur antara satu hingga 10 peratus di bahagian leher, bahu dan muka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, ketika kejadian, dua anggota terbabit mahu menjalankan kerja 'overhaul' dengan memanjat pada ketinggian 3.6 meter untuk memasukkan air ke dalam silo.

Bagaimanapun katanya, belum sempat air dimasukkan, terdapat serpihan habuk kayu jatuh ke dalam silo menyebabkan berlakunya percikan api dan letupan di kawasan itu.

Keadaan kebakaran silo di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian IGB Tasek, pagi Sabtu.

“Keadaan itu menyebabkan dua anggota kita yang berada di situ cedera. Seorang daripada mereka bertindak terjun dari ketinggian hampir dua bangunan itu bagi menyelamatkan diri.

“Mereka diberikan rawatan awal di lokasi kejadian oleh anggota perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, kedua-duanya berada dalam keadaan stabil, seorang masih dalam pemerhatian doktor dan seorang lagi dipindahkan ke wad biasa untuk direhatkan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. 

Turut serta, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim.

Yahaya berkata, secara keseluruhannya, kebakaran silo memproses habuk kayu yang dilaporkan berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu telahpun berjaya dipadam dan dikawal sepenuhnya.

“Malangnya masih terdapat bara api dalam silo berkenaan, kejadian ini sesuatu yang tak dijangka dan anggota kita telahpun mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Mengikut rekod jabatan, ini merupakan kali keempat silo terbabit dilaporkan terbakar sepanjang tempoh tiga bulan ini,” katanya. - Sinar Harian


 

 

 
Yahaya Madis, IGB Tasek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain