suria

Hati Berbunga-Bunga Dengar Telefon Berbunyi

MINGGU ini minggu gaji. Minggu yang penuh debar, kerana masing-masing menjadi sensitif terhadap deringan notifikasi mesej dari telefon masing-masing.

Di sini, kemasukan gaji akan dimaklumkan oleh bank ke telefon pekerja melalui SMS.

Bukan itu sahaja, setiap aktiviti perbankan pengguna akan menerima SMS mengenai aktiviti tersebut. A.ku agak kagum dengan sistem ini.

Daripada pengeluaran duit, kemasukan duit, pembelian dan pembayaran semuanya akan dimaklumkan melalui SMS. Bukan itu sahaja, saat luput kad juga akan dimaklumkan melalaui SMS.

Jika ada promosi bank - seperti pinjaman, kenaikan had penggunaan kredit kad - juga melalui sistem ini. Jika bersetuju, hanya perlu membalas "YA", dan sebentar kemudian akan anda terima panggilan dari petugas bank melanjutkan urusan.

Walaupun kadang-kadang terasa semak dengan pelbagai notifikasi yang diterima, tetapi ia adalah satu kemudahan yang wajar.

Minggu ini minggu gaji. Masing-masing gentar resah tanpa sebab yang munasabah. Walaupun sudah pasti kemasukan gaji akan berlaku lewat petang nanti tetapi masing-masing tetap sensitif.

TING TING!

Satu deringan notifikasi berbunyi sewaktu kami ramai-ramai di tempat hisap rokok waktu rehat. Perbualan segera berhenti apabila tuan empunya telefon dengan gelabah dan separuh menjerit, “Gaji!” mengeluarkan telefon dari poket seluar.

Semua mata tertumpu kepada tuan empunya tadi, suasana seperti mata tertancap di depan TV menunggu pengumuman tarikh hari raya puasa walaupun sudah tahu dengan tepat bila.

“Owh..” satu keluhan hampa yang tidak enak didengar oleh kami dari tuan empunya telefon.

“Gaji?” tanya salah seorang daripada kami.

“Bukan. Domino. Buy 1 free 1.”

“Owh…” keluh kami beramai-ramai.

Kerja harus diteruskan. Perasaan tidak sabar masih menyelubungi diri, walhal sepnjang hari itu, tiada apa-apa pembelian pun akan berlaku. Tapi gelombang perasaan itu hanya mampu reda setelah menerima mesej keramat nanti.

Aku di dalam pesawat, bersama-sama dengan pekerja lain. Berbual sambil melaksanakan tugas, walau berlainan bangsa dan negara itu bukan alasan untuk tidak berharmoni. Bergelak ketawa kami bertukar-tukar cerita.

TING! TING!

Deringan mesej bertalu masuk ke telefon bimbit aku. “Gaji!” jerit aku sambil mengelupur mengeluarkan telefon dari beg pinggang.

Pekerja lain memandang aku dengan penuh harapan. Masing-masing berhenti melakukan kerja dan tertumpu kepada aku. Aku dengan cepat menghidupkan telefon dan memeriksa mesej yang diterima.

“Cis!” bentak aku.

“Gaji?” tanya salah seorang dari mereka.

“Bukan. Domino. Buy 1 free 1,” kata aku sambil mematikan paparan telefon dan menyimpannya semula.

“Owh…” keluh mereka beramai-ramai sambil meneruskan kembali kerja.

Minggu ini memang sepatutnya minggu gaji. Entah kenapa gaji tidak masuk-masuk lagi. Sudah lewat sehari dari tarikh yang sepatutnya.

Aku di rumah, terkebil-kebil sendirian. Sementara menunggu mesej gaji, aku menghidupkan komputer riba dan mula menaip cerita yang tertunda.

TING! TING!

Kelam kabut aku meninggalkan komputer riba dan mengambil telefon bimbit. Hati berbunga-bunga.

“Hampeh!” jerit aku apabila membaca mesej yang diterima; "Buy 1 free 1" daripada Domino.



SMS, Domino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain