suria

“Sohaimi Stabil, Perlu Cukup Rehat”

Keadaan Sohaimi sejurus selepas menjalani rawatan di Hospital KPJ Damansara, awal pagi Sabtu. Beliau kini dalam keadaan stabil dan perlu berehat secukupnya. Foto ihsan Nurul Azni Roslan

PETALING JAYA: Keadaan kesihatan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan kini stabil, tetapi masih diletakkan di bawah pemantauan doktor.

Isterinya, Datin Nurul Azni Roslan ketika dihubungi mStar Online berkata, Sohaimi telah menjalani rawatan terhadap luka yang dialami akibat ditikam di bahagian kepala dan bahu oleh jirannya yang dipercayai kurang siuman.

“Suami menjalani rawatan antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi tadi. Dia kini dalam keadaan stabil tetapi masih perlu diperiksa sekiranya terdapat jangkitan pada luka.

“Pagi tadi dia muntah-muntah, mungkin sebab kesan selepas rawatan. Tapi sekarang dia dah okay tetapi masih perlu diperiksa dan berehat,” katanya.

Sohaimi yang juga Pengerusi Yayasan Jamin dimasukkan ke di Hospital KPJ Damansara selepas cedera ditikam oleh lelaki yang dipercayai kurang siuman dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Desa Moccis, Sungai Buloh, malam Jumaat.

Nurul Azni berkata, sejak dimasukkan ke hospital, Sohaimi tidak putus-putus dikunjungi pelawat, termasuklah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menziarahi suaminya malam Jumaat.

“Dia kini bergantung kepada ubat-ubatan untuk membantu memulihkannya. Doktor juga menasihatkan dia supaya berehat secukupnya.

“Saya berharap orang ramai dapat memberikan ruang untuk dia berehat dan mendoakan kesejahteraannya supaya cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S. Somu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam Jumaat, Sohaimi telah berkunjung ke rumah jirannya untuk memaklumkan ibu bapa suspek berhubung tindakan lelaki berusia 20-an itu yang membaling batu ke rumahnya sehingga terkena anak saudaranya.

"Lelaki itu kemudian menikam Sohaimi di bahagian belakang kepala dan bahu kanan serta turut menikam anak saudara lelaki Sohaimi yang datang untuk membantunya di bahagian kepala dan pipi menggunakan objek tajam," katanya.

Somu berkata, polis yang dimaklumkan kejadian itu telah menahan suspek dan siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sohaimi Shahadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain