suria

'Hadiah' Enam Meter

Zabri (dua, kanan) dan anggotanya menerima ular sawa yang ditangkap oleh penduduk di kawasan Lubuk Mandi. Foto Sinar Online

MARANG: Sekumpulan penduduk gempar apabila seekor ular sawa dalam dianggarkan seberat 250 kilogram terperangkap di dalam jaring di kawasan Lubuk Mandi, di sini.

Bimbang reptilia sepanjang kira-kira enam meter itu terlepas dan mengancam nyawa mereka serta haiwan ternakan, mereka segera menangkap ular bersaiz besar itu.

Reptilia itu kemudiannya diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, ular itu yang terbesar pernah ditangkap di kawasan berkenaan tahun ini.

Pihak APM menempatkan ular sawa yang disifatkan 'hadiah' itu di dalam kurungan.

Pegawai APM Daerah Marang, Kapten Zabri Abdul Razak berkata, reptilia sepanjang enam meter itu akan dihantar kepada pihak berkaitan.

"Orang awam telah menghantar kepada kita, kepada pihak APM Marang, seekor ular yang terperangkap di jaring di Lubuk Mandi. Ini merupakan 'hadiah' yang besar kepada APM Daerah Marang.

"Orang awam terbabit disifatkan sangat prihatin kerana sedar bahaya ancaman ular sebesar itu dan menghantarnya kepada APM. Jadi pihak kami mengucapkan terima kasih di atas kesedaran itu.

“Ular (sawa) dihantar orang awam ini juga adalah tangkapan ular paling besar diterima daripada orang awam tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Zabri menasihati orang awam supaya jangan bertindak sendiri sekiranya menemui atau diancam haiwan berbisa dan mereka diminta segera menghubungi pihaknya untuk tindakan lanjut. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Pikat Anak Dulu - Vida

Artikel Berikut

Artikel Lain