suria

Ditahan 48 Jam Selepas Pecah Masuk Rumah

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit kes memecah masuk rumah seorang penjawat awam di Jalan Semarak di sini, Ahad lepas, tidak sampai 48 jam selepas mereka melakukan kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata mereka ditahan dalam  serbuan berasingan di Sungai Buloh, Sri Petaling dan Setapak semalam dan awal pagi Selasa.

Katanya, hasil risikan di lokasi kejadian, polis menahan suspek utama berumur 22 tahun kira-kira 11.30 malam di Sungai Buloh pada Isnin.

"Soal siasat terhadap suspek itu kemudiannya membawa kepada penangkapan dua lagi lelaki berumur 23 dan 24 tahun di Sri Petaling dan Setapak kira-kira 1 pagi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, Selasa.

Mohamad Roy Suhaimi berkata dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.

"Polis turut merampas pelbagai barang antaranya kamera, komputer riba dan barangan lain disyaki barang kes pecah rumah," katanya.

Katanya kesemua suspek direman tujuh hari bermula pada Selasa bagi membantu siasatan. - BERNAMA  

pecah rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain