suria

Layanan Lebih Teruk Dari Binatang, HKL Jawab

Hospital Kuala Lumpur. Foto Facebook Hospital Kuala Lumpur

PETALING JAYA: Seorang ejen insurans berang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didakwa melayan anak pelanggannya yang melecur akibat terkena air rebusan ketupat 'lebih teruk dari binatang'.

Ejen berkenaan yang mendakwa anak pelanggannya itu melecur 75 peratus dan dihantar ke HKL turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah unit rawatan kebakaran hospital itu yang disifatkan masih ditakuk lama.

Dressing scrap kulit untuk bagi kulit baru tumbuh dibuat hidup-hidup tanpa bius. Kau sanggup dengar anak kau menjerit meraung sementara kau tidak dibenarkan masuk (bilik rawatan). 

“Layanan mereka lebih teruk dari binatang. Kerana banyak binatang dilayan dengan begitu baik dan penuh kasih sayang,” katanya menerusi beberapa ‘posting’ di laman sosial baru-baru ini sehingga ia tular.

Dia turut mendakwa bahawa doktor mendapati terdapat jangkitan terhadap pesakit kanak-kanak itu yang telah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan terpaksa melalui prosedur baharu termasuk pelbagai proses lain yang dibuat selepas dibius.

Menjadikan kisah pelanggannya sebagai modal, ejen dari sebuah syarikat insurans terkenal itu telah meminta orang ramai membuat persediaan dari segi insurans perubatan untuk anak-anak.

“Kemanusiaan hari ini semua datang dengan duit. Persiapkan anak anda dengan insurans perubatan kalau anda faham segalanya boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kalau tak sanggup serah anak kat tangan-tangan kasar... bayar insurans sikit, antara RM150 dan RM200 sebulan,” katanya.

Dakwaan yang dilemparkan oleh seorang ejen insurans di laman sosial berhubung layanan HKL.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menjelaskan bahawa pesakit yang dimaksudkan adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang hanya melecur 10 peratus dan bukan seperti yang didakwa ejen tersebut, dalam satu kejadian pada 21 September lalu.

Katanya, pesakit diberikan rawatan segera di bawah Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik, dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin yang lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimumkan perawatan.

“Pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan oleh pakar yang merawat termasuk pembersihan luka yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan.

“Selain itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa. Antibiotik juga diberikan untuk menghindarkan dan merawat jangkitan kuman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Walaupun mustahil untuk pesakit tidak berasa sakit mahupun trauma, Dr Zaininah memberitahu rawatan dan ubat tahan sakit mampu mengurangkan kesakitan tersebut.

Katanya, satu tarikh ditetapkan untuk pesakit menjalani ‘superficial skin grafting’, tetap waris memilih untuk discaj sebelum prosedur bagi pesakit mendapatkan rawatan susulan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kerana mahukan keselesaan terutama dari segi waktu lawatan. 

Dr Zaininah Mohd Zain.

Mengikut protokol HKL, hanya ibu bapa atau penjaga dibenarkan melawat dan hanya ibu atau penjaga wanita sahaja yang dibenarkan menjaga pesakit di wad, malah ibu bapa juga tidak dibenarkan berada di bilik rawatan semasa prosedur dijalankan. 

“Protokol ini perlu mereka patuhi bagi memastikan persekitaran wad sentiasa bersih untuk mengurangkan jangkitan kuman kepada pesakit lain yang juga menerima rawatan kebakaran dan kelecuran di unit tersebut,” katanya.

Dr Zaininah turut menegaskan bahawa pesakit yang dikeluarkan dari hospital pada 12 Oktober lalu mengalami luka yang bersih dan bertambah pulih sebelum menyambung rawatan di pusat perubatan lain.

Sehubungan itu, beliau menafikan semua tuduhan pemilik laman Facebook berkenaan sehingga ia tular di media sosial.

“Kenyataan yang dilemparkan adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej Hospital Kuala Lumpur,” kata Dr Zaininah.

Sehingga berita ini ditulis, mStar Online sedang menunggu maklum balas daripada syarikat insurans yang dikaitkan dengan dakwaan ejen tersebut.

HKL, Dr Zaininah Mohd Zain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anak Dipenjara, Ugut Tikam Ibu

Artikel Lain