suria

Penjawat Awam Paling Lama Berkhidmat Meninggal Dunia

Ong See Fook (kanan). -gambar fail

GEORGE TOWN: Selama bertahun-tahun beliau menjadi individu yang akan dicari jika ada yang ingin mengadakan pertemuan dengan ketua menteri Pulau Pinang.

Begitu juga jika ada seseorang perlu berurusan dengan pejabat ketua menteri tetapi tidak tahu bagaimana prosedurnya, beliau jugalah yang akan dicari.

Beliau juga begitu komited dengan tugasnya, malah jika dia tidak menjawab panggilan telefon, ia merupakan satu kejutan.

Ong See Fook yang lembut dan sopan, adalah setiausaha sulit kepada tiga ketua menteri Pulau Pinang. Beliau telah mendedikasikan 61 tahun hidupnya sebagai penjawat awam.

Penjawat awam yang paling lama berkhidmat di Malaysia ini menghembuskan nafas terakhir pada Rabu ketika usianya 83 tahun. Beliau meninggal dunia akibat kanser prostat.

Beliau diberikan cuti sakit bulan lepas apabila doktor mengarahkannya untuk berehat.

Isteri See Fook, Lim Chooi Bee, 80, berkata kansernya didiagnosis pada akhir bulan Julai semasa melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Saya dan anak saya memutuskan untuk tidak memberitahu tentang penyakitnya supaya dia boleh menghabiskan masa-masa terakhirnya dengan melakukan apa yang dia mahu.

"Kansernya lewat diketahui. Dia dimasukkan ke hospital kali terakhir pada hari Isnin. Dia tidak banyak menderita sebelum meninggal dunia," kata Chooi Bee ketika ditemui di Gelugor, Jumaat.

Chooi Bee berkata suaminya memulakan perkhidmatan awamnya pada 1956 dengan berkhidmat di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang mana ketika itu Tan Sri Wong Pow Nee memegang jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang yang pertama.

Kemudian beliau bekerja sebagai pembantu peribadi kepada Tun Dr Lim Chong Eu dan terus berkhidmat di pejabat ketua menteri di bawah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, diikuti oleh Lim Guan Eng.

See Fook beberapa kali merancang untuk bersara tetapi beliau tidak mampu menolak apabila kontraknya mahu diperbaharui, katanya.

"Dia seorang lelaki yang tenang dan mengasingkan kerja dan kehidupannya. Dia mempunyai semangat yang tinggi untuk kerjanya. Walaupun The Star mahu menemubual tentang kerjayanya tahun lalu, dia beritahu hanya akan melakukannya selepas bersara," katanya.

Turut bersedih dengan pemergian See Fook ialah Dr Koh, yang menggambarkan beliau sebagai salah seorang pekerja yang paling berdedikasi yang pernah berkhidmat dengannya.

"Dia sangat rajin, teliti dan menyimpan rahsia.

"Pada masa saya meninggalkan pejabat ketua menteri pada tahun 2008, Ong sudah berusia 74 tahun.

"Dia, pada masa itu, sudah menjadi orang yang paling lama berkhidmat di mana-mana pejabat kerajaan di negara ini," katanya.

Beliau mengenali See Fook lebih dari 35 tahun.

Guan Eng, berkata pejabatnya mahu See Fook terus bekerja disebabkan perkhidmatannya yang cemerlang.

"Dia bekerja sungguh-sungguh sehingga saat akhir, sehingga bulan terakhir dia tidak sihat," katanya.

Ong See Fook, kanser

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Shafie Apdal Ditahan SPRM

Artikel Lain