suria

Jangan Tular Maklumat Tak Sahih

Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad

PASIR MAS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengingatkan pengguna laman sosial supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih dan berunsur fitnah kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad meminta mereka yang menerima maklumat atau berita tidak sahih supaya tidak menjadi ‘juara' dengan menularkan berita tersebut.

"Kalau kita mengedarkan fitnah...tidak tahu kesahihan berita tersebut, kita boleh jadi pengkhianat kerana boleh sebabkan negara dalam keadaan tidak selamat," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Menghubung dan Menyatu (CTU) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kuau, Rantau Panjang di sini, Sabtu.

Program dirasmikan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yasim.

Sharifah Zarah berkata mereka yang mahu memastikan kesahihan sesuatu berita yang tular di laman sosial boleh menyemaknya di portal sebenarnya.my yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata kesedaran penggunaan laman sosial secara betul adalah penting berikutan usaha kerajaan meningkatkan akses kepada perkhidmatan internet di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar melalui program CTU.

Sementara itu, Abdullah berkata program CTU yang melibatkan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk luar bandar yang selama ini tiada atau terhad aksesnya kepada perkhidmatan internet, siaran televisyen dan radio.

Beliau berkata tanpa perkhidmatan telekomunikasi yang baik, masyarakat di kawasan luar bandar akan ketinggalan daripada arus pembangunan negara.- Bernama

Tular

Artikel Sebelum

Lelaki Tinggi Pilihan Sajat

Artikel Lain